Tamatkan jawatan menteri yang tidak penting - Tengku Putra
Astro Awani
Februari 22, 2021 17:23 MYT
Februari 22, 2021 17:23 MYT
KUALA LUMPUR: Mana-mana jawatan menteri dan timbalannya yang tidak penting boleh ditamatkan dan tugasannya boleh diangkat oleh ketua setiausaha kementerian yang berkenaan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat menegaskan, setiap laporan berkenaan setiausaha kementerian itu pula akan menyerahkan maklumat berkenaan kepada menteri-menteri kanan kerajaan.
"Setiap bulan, rakyat menanggung hampir RM3 juta untuk menggajikan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri ini.
"Beberapa kementerian boleh digabungkan dan diselia oleh menteri-menteri kanan, di mana ketua-ketua setiausaha kementerian terbabit boleh diarah melapor kepada menteri-menteri kanan berkenaan.
"Anggota Kabinet yang mungkin digugurkan itu tetap akan mendapat gaji dan peruntukan bulanan mereka sebagai Ahli Parlimen dan Senator, cuma bukan sebagai menteri dan timbalan menteri sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, jumlah keahlian Kabinet perlu dilihat ke angka yang lebih sesuai dan munasabah di bawah Perintah Darurat dan fasal yang sama dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu jelasnya, pembaziran seumpama itu seharusnya dibendung dan penjimatan yang dibuat boleh disalurkan kepada usaha yang lebih murni.
"Ketika pandemik dan darurat ini, sudah tentu kita tidak memerlukan sebuah Kabinet besar dari segi jumlahnya, iaitu seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri.
"Darurat yang telah diisytiharkan pada 12 Januari lepas kerana penularan wabak COVID-19 berada di tahap yang amat kritikal.
"Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) di bawah proklamasi darurat ini semakin dilonggarkan; sektor ekonomi dan perkhidmatan yang dikategorikan 'non-essential' pada asalnya kini dibenarkan beroperasi dan sekolah-sekolah juga akan dibuka mulai minggu hadapan," ujarnya lagi.
#SOP
#ADUN
#COVID-19
#operasi
#PKP
#perintah darurat
#Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat
#menteri
#Timbalan Menteri