Tamat kontrak projek alami kelewatan keputusan terakhir - Fadillah

Faris Danial Razi
Ogos 12, 2022 15:39 MYT
Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan serba salah untuk menamatkan kontrak melihat kepada keadaan semasa yang menjadi kekangan kepada kemajuan sesebuah projek. - Gambar ihsan Kementerian Kerja Raya
KUALA KRAI: Keputusan untuk menamatkan kontrak bagi projek yang mengalami kelewatan untuk disiapkan menjadi pilihan terakhir bagi Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, kerajaan serba salah untuk menamatkan kontrak melihat kepada keadaan semasa yang menjadi kekangan kepada kemajuan sesebuah projek.
“Ada projek yang mendahului jadual, ada yang siap mengikut tempoh ditetapkan dan ada juga di belakang jadual.
“Disebabkan itu, kami di lapangan ini membawa semua pengurusan tertinggi daripada kementerian dan agensi tujuannya adalah untuk kita lihat sendiri dan berbincang dengan kumpulan projek kita untuk mencari jalan terutama dalam menyiapkan projek.
“Misalnya laluan Central Spine Road (CSR), ia adalah satu pakej yang sebenarnya agak terlewat dan kita dalam keadaan serba salah sama ada kita ingin menamatkan kontrak.
“Bagaimanapun, itu adalah jalan terakhir kerana apa yang penting bagi kita adalah bagaimana untuk menyiapkan projek, selama mana kita boleh bantu untuk ia disiapkan, kita akan cuba bantu,” jelas beliau sewaktu tinjauan kerja-kerja naik taraf Jalan Jeli-Kg Reka Luar, Kuala Balah di Dabong pada Jumaat.
Tambahnya, selain mengalami masalah kekurangan tenaga kerja yang mana ramai pekerja pembinaan berlari ke sektor perladangan misalnya kerana upah yang lebih lumayan, banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada perkara itu.
“Banyak faktor ia tidak dapat disiapkan mengikut jadual kerana dulu dengan adanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kenaikan harga barang dan sebagainya.
“Kadang-kadang kontraktor ini aliran kewangan mereka akan terjejas yang mana mereka masih perlu membayar gaji pekerja, sewa peralatan dan pinjaman.
“Dan kita memahami keadaan ini disebabkan itu kita memberi kemudahan kepada mereka terutama sekali dari segi pelanjutan masa.
“Selain itu, susulan kenaikan harga barang kita berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melaksankan perubahan harga mengikut keadaan harga sekarang.
“Dan sebabkan itu, kerajaan tidak mengenakan denda atas sebab pelanjutan masa atas masalah yang mereka hadapi,” tambah beliau lagi.
#Fadillah Yusof #Central Spine Road #penamatan projek #Kementerian Kerja Raya
;