Tamat kontrak KP Finas, tutup peluang wujudkan pawagam komuniti di Kelantan
Wan Syamsul Amly
November 12, 2016 18:32 MYT
November 12, 2016 18:32 MYT
Penamatan kontrak Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman pada Khamis diibarat membunuh hasrat rakyat Kelantan untuk melihat pawagam komuniti di negeri itu.
Timbalan Pengerusi Biro Penerangan dan Aduan Persatuan Anak Anak Kelantan Darul Naim, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, ia juga dilihat menutup hasrat perkembangan seni filem dalam pelbagai aspek positif.
"Finas seperti menekan butang 'reset' dengan situasi penamatan kontrak Ketua Pengarahnya dalam isu pawagam komuniti.
"Usaha pawagam komuniti di Kelantan sebenarnya sudah berada di peringkat akhir dan hanya memerlukan keputusan persefahaman antara Finas dan kerajaan negeri.
"Pawagam Komuniti adalah idea yang sangat bernas kerana membolehkan semua generasi mampu untuk menonton wayang, tidak kira miskin atau kaya. Ia pendekatan terbaik untuk menggambarkan pawagam adalah sebuah perpustakaan visual dan audio yang bermesej," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Wan Syahrul Amry mengulas penamatan kontrak dan hari terakhir Kamil bertugas sebagai Ketua Pengarah Finas pada Khamis lepas.
Sebelum ini, beberapa penggiat seni menyifatkan penubuhan pawagam komuniti di Kelantan bakal mempromosikan budaya menonton wayang untuk semua lapisan masyarakat di negeri itu.
Ia sekali gus diibaratkan sebuah perpustakaan audio visual yang memiliki pengisian dan mampu menjana pengetahuan masyarakat setempat.
Pada dasarnya idea itu sebenarnya dicetuskan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan kerajaan sendiri.
Dalam pada itu jelasnya, di bawah pertadbiran Finas sedia ada, idea itu akhirnya dilayan dan hampir untuk direalisasikan
"Penamatan kontrak ketua pengarah ini bakal membekukan usaha mewujudkan pawagam komuniti. Kementerian yang membuat keputusan juga seolah-olah sekalilagi menafikan hak rakyat Kelantan.
"Kelantan yang sering dinafikan hak-hak lain, sekali lagi bakal kecewa dengan usaha untuk mendapatkan kemudahan asas yang tergendala ini.
"Finas yang merupakan badan yang berkait rapat dengan kerajaan, akan sekali lagi dilihat tidak peka membela nasib anak seni Kelantan yang terkenal sebagai anak tiri industri," tegasnya.
Sebelum ini, Kamil dilaporkan berkata, keunikan budaya masyarakat Kelantan menjadi mendorong Finas untuk mewujudkan pawagam komuniti di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Katanya, ia merealisasikan impian rakyat Kelantan yang selama ini mahu hasil seni mereka diiktiraf di negeri sendiri.