Taman tema dinosaur bakal dibuka di Sabah

Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 12, 2021 11:01 MYT
Jurassic land @ Kiulu ini boleh dikunjungi dalam jarak tempoh kurang dari satu jam perjalanan dari Kota Kinabalu. - Astro AWANI
TUARAN: Sabah yang terkenal dengan produk ekopelancongan kini tampil dengan satu lagi daya tarikan iaitu taman tema haiwan pra-sejarah yang dikenali sebagai Jurassic Land @ Kiulu.
Bertapak berhampiran kawasan tumpuan sukan ekstrem 'water rafting' di daerah Tuaran, Jurassic land @ Kiulu ini boleh dikunjungi dalam jarak tempoh kurang dari satu jam perjalanan dari Kota Kinabalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Visiont Ventura Sdn Bhd, Sam Chan, taman tema tersebut wujud hasil perkongsian idea bersama dua lagi rakannya tiga tahun lalu sebelum pembinaan bermula pada tahun 2019.
Fokus utamanya adalah bagi memperlihatkan kelainan produk pelancongan di negeri selain memberi peluang kepada orang ramai yang tidak berkesempatan berkunjung ke taman tema seperti Universal Studios atau Disneyland.
"Ketika pandemik COVID-19, susah untuk orang ramai melancong ke luar negara. Jadi saya bersama dua lagi rakan mendapat idea untuk merancakkan pelancongan domestik dengan taman tema seperti ini," katanya.
Beliau ditemui dalam tinjauan produk pelancongan di Kiulu, Tuaran pada Sabtu.
Jelasnya lagi taman tema tersebut hanya boleh dilawati apabila pengumuman mengenai kebenaran beroperasi bagi semua taman tema dibuat kerajaan.
Didirikan di atas tanah seluas 3 ekar, Jurassic Land @ Kiulu menghimpunkan lebih daripada 15 replika dinosaur dengan setiap satu bahagian disediakan papan tanda maklumat untuk bacaan umum.
Sam berkata kerana minat dengan aktiviti taman tema, beliau dan dua lagi rakannya kini sedang merancang untuk membina sebuah lagi taman tema dan selepas ini ia mungkin didirikan berhampiran kawasan Sungai Kiulu.
"Kita merancang untuk membuka sebuah lagi taman tema di sekitar Kiulu dan yang ini lebih kepada aktiviti 'water rafting' dan 'rainforest walk'," katanya.
Jelasnya taman tema sedia ada dan yang bakal dibina tidak hanya bertindak sebagai bahan tarikan pelancongan malah mampu memberi peluang perkerjaan khusus bagi yang tinggal di Kiulu dan Tamparuli.
#dinosaur #Jurassic Land #Taman Tema #pelancongan
;