Taman tema air di Bertam boleh beroperasi semula
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 7, 2023 15:00 MYT
Januari 7, 2023 15:00 MYT
KEPALA BATAS: Taman tema air Bertam Souk and Water Park di Kepala Batas, Pulau Pinang yang ditutup sementara pada 28 Disember lepas sudah beroperasi semula selepas mendapat lesen daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
MBSP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah meluluskan permohonan lesen kepada pemilik taman tema air berkenaan pada Jumaat lalu.
Menurut kenyataan tersebut, kelulusan yang diberikan adalah pada tarikh sama premis itu mendapat kelulusan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) bagi taman tema air terbabit.
"Pihak MBSP berharapkan dengan pembukaan semula taman tema ini dapat memberi manfaat kepada pengunjung dan menjadi tarikan pelancongan yang baharu dikawasan Seberang Perai," kata MBSP dalam kenyataan itu lagi.
Pada 28 Disember lepas, taman tema air itu diarah tutup sementara oleh MBSP kerana beroperasi tanpa kebenaran dan tidak mematuhi peruntukan enakmen hiburan di bawah Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.
Taman tema yang bernilai RM90 juta itu mula beroperasi 15 Disember lalu selepas tertangguh sejak sekian lama akibat beberapa masalah termasuk pandemik COVID-19.
#Taman Tema Air
#Bertam Souk and Water Park
#Majlis Bandaraya Seberang Perai
#taman tema air ditutup