Taman Tasik Taiping mulai 'dilimpahi' air, pengunjung lega

Aida Aziz
Ogos 9, 2024 06:50 MYT
Keadaan terkini menunjukkan paras air di Taman Tasik Taiping yang mulai normal susulan hujan berterusan pada sebelah petang dan malam. - Astro AWANI
TAIPING: Keadaan di Taman Tasik Taiping atau sinonim dengan Lake Garden, mulai dipenuhi air susulan taburan hujan yang kerap pada sebelah petang dan malam kebelakangan ini.
Sudah tentu ramai yang lega dengan perkembangan itu, khususnya pengunjung yang sering menikmati keindahan pokok hujan-hujan atau nama saintifiknya samanea saman yang menjadi ikon Bandar Warisan, sambil beriadah di sini.
Dikenali dengan gelaran bandar tadahan hujan, ramai mata yang tertumpu di sini susulan tular paras air tasiknya yang mengering.
Cuaca panas yang melanda negara sebelum ini mengakibatkan paras air tasik berusia 133 tahun itu menyusut dan cetek hingga ke dasar.
Malah fenomena itu, turut membuka peluang orang ramai untuk bergambar dan merakam suasana unik berkenaan.
Tinjauan ke lokasi pada Jumaat mendapati, paras air kembali normal.
Salah seorang pengunjung yang juga penduduk tempatan, Nurul Azwa Ahmad Shafie, 40, turut mengakui perkara itu.
Katanya, situasi yang berlaku sebelum ini memang jarang dilihat, mujur hujan kembali normal di kawasan Taiping khususnya.
"Saya sering ke sini untuk beriadah dan jogging, memang kawasan di sini terkenal dengan kehijauannya, termasuk tasik.
"Saya tak pernah lihat air tasik kering seperti yang tular sebelum ini, nampak sampai dasar dan boleh berjalan di tengah-tengahnya.
"Risau juga dengan keadaan pokok sekitarnya memandangkan cuaca betul-betul panas, mujur kebelakangan ini hujan berterusan.
"Taiping memang dikenali dengan keindahan Lake Garden dan pokok ratusan tahun di sini, bila air tasik kering agak sedih dan kurang tarikannya," katanya yang menetap di Pokok Assam.
Sementara itu, salah seorang pekerja am Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Shahrul Nizam Sah Hidan ketika ditemui berkata, air mula hampir kembali ke paras normal bermula Isnin lalu.
Katanya, situasi hujan berterusan sejak awal bulan Ogos menjadi faktor tasik mulai dilimpahi air.
"Pada pendapat saya agak teruk juga keadaan tasik sebelum ini, kering akibat cuaca begitu panas.
"Bagaimanapun, ramai juga pengunjung terutamanya dari Singapura yang datang dengan rombongan bas rakam gambar kenangan tasik kering di sini.
"Tidak terkecuali orang tempatan yang berpusu-pusu datang hujung minggu lihat fenomena itu, apa pun sekarang sudah semakin pulih paras airnya," katanya.
#Taman Tasik Taiping #Lake Garden #hujan #ikon Bandar Warisan
;