Taman semikonduktor kedua akan dilancar awal tahun depan - MB Selangor

Bernama
November 15, 2024 18:40 MYT
Menurut Amirudin, inisiatif berkenaan terhasil daripada kerjasama erat di antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan. -Bernama
SHAH ALAM: Selangor akan memiliki Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia keduanya yang akan dilancarkan pada awal 2025 di Cyberjaya, Sepang, kata Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari.

Ringkasan AI
  • Selangor akan melancarkan Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia kedua di Cyberjaya pada awal 2025, dengan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
  • Selangor Digital School akan dinaik taraf menjadi Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM), yang akan dibangunkan di dalam taman reka bentuk IC kedua tersebut.
  • Pusat Inkubator AI Selangor akan dibangunkan dengan fasa pertama berkonsepkan pusat latihan teknologi, dilengkapi kemudahan untuk program inkubator AI dan pendidikan dalam bidang tersebut.

Katanya, inisiatif berkenaan terhasil daripada kerjasama erat di antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.
"Bagi tujuan itu, kerajaan Selangor akan menyumbang sebanyak RM50 juta iaitu RM10 juta setahun daripada 2024 sehingga 2029 manakala kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi dianggarkan menyalurkan RM100 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata pada masa sama, Selangor Digital School (SDS) akan dinaik taraf menjadi Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) yang kampusnya akan dibangunkan dalam keluasan 7,432.24 meter persegi dan terletak di dalam taman reka bentuk IC kedua tersebut.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Pusat Inkubator AI Selangor iaitu kemudahan dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) pula akan dibangunkan dengan fasa pertamanya berkonsepkan pusat latihan teknologi.
Katanya, ia bakal dilengkapi dengan kemudahan untuk program inkubator AI serta menawarkan program pendidikan dan persijilan tertentu dalam bidang berkenaan.
Beliau berkata peruntukan keseluruhan untuk semua inisiatif AI ini adalah berjumlah RM5 juta yang mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam mempersiapkan Selangor untuk memasuki gerbang AI.
"Kerajaan negeri juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan AI lain bagi meluaskan skop teknologi itu di Selangor," katanya.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia #Cyberjaya #Advanced Semiconductor Academy of Malaysia #Pusat Inkubator AI Selangor
;