Taman Robina Eco Park tarikan terbaharu di Butterworth

Bernama
Julai 25, 2020 06:34 MYT
Satu lagi projek lestari hijau, Taman Robina Eco Park jadi tarikan terbaharu buat pengunjung ke Pulau Pinang. - Foto BERNAMA
Taman Robina Eco Park, satu lagi projek lestari hijau dengan kos keseluruhan RM1,464,000, menjadi tarikan terbaharu untuk menggamit pengunjung ke Pulau Pinang, kata Ketua Menteri Chow Kon Yew.
Katanya bersesuaian dengan hasrat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk memperbanyak persekitaran hijau, projek naik taraf Taman Rekreasi Pantai Robina menekankan aspek hijau termasuk penanaman rumput di keseluruhan tapak pembangunan dan penambahan 548 pokok renek.
"Bagi mengekalkan ciri-ciri hijau ini juga, penggunaan sistem solar turut digunakan untuk lampu selain ketetapan MBSP tidak membenarkan kenderaan memasuki taman ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian taman itu, di sini hari ini.
Chow berkata taman itu yang berada di tepi laut turut membolehkan pengunjung menyaksikan keindahan Pulau Pinang dari arah utara Butterworth.
"Kedudukan yang strategik iaitu lebih kurang 15 kilometer dari Butterworth dan berdekatan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, taman ini bakal menjadi tumpuan orang awam untuk melakukan aktiviti memancing, menghayati keindahan panorama matahari terbenam dan lokasi beriadah bersama keluarga," katanya.
Apa kenangan anda di lokasi ini? Berikut antara foto yang ditemui menerusi perkongsian di Instagram:
#keluarga #Ketua Menteri #menteri #pelancong #pulau pinang #Seberang Perai #Taman Robina Eco Park #tarikan baharu