Taman Rimba Ampang ditutup untuk pembinaan Lebuh Raya EKVE

Tan Su Lin
Januari 5, 2016 19:24 MYT
Taman Rimba Ampang akan ditutup kepada orang awam bermula hari ini bagi pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE). - Foto Facebook
Taman Rimba Ampang akan ditutup kepada orang awam bermula hari ini sehingga Mei 2019 bagi pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE).
Menurut laporan The Star Online, taman rekreasi itu ditutup atas faktor keselamatan dan kesan alam sekitar.
Difahamkan, notis telahpun ditampal bagi memaklumkan orang awam tentang penutupan taman rimba tersebut.
Kerja-kerja pembinaan lebuh raya sepanjang 39 km itu juga dijangka bermula bulan ini.
Pada 12 April 2014, Astro AWANI menyiarkan laporan tentang empat hutan simpan di Selangor termasuk Hutan Simpan Ampang (meliputi Taman Rimba Ampang) bakal hadapi ancaman pencemaran dengan pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR).
EKVE adalah sebahagian daripada rangkaian lebuhraya KLORR.
Sebelum ini, sejumlah 8,260 penduduk telah menandatangani petisyen membantah cadangan penarikan semula pewartaan kawasan seluas 106.55 hektar di Taman Negeri Selangor yang turut meliputi Hutan Simpan Ampang untuk pembinaan KLORR.
#EKVE #KLORR #lebuhraya #Taman Rimba Ampang
;