Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh tersenarai di Google Maps
Aida Aziz
Ogos 1, 2023 09:40 MYT
Ogos 1, 2023 09:40 MYT
IPOH: Taman Rekreasi Gunung Lang, di sini tersenarai antara lima taman popular dalam kalangan pengunjung dari dalam dan luar negara, berdasarkan data yang direkodkan menerusi Google Maps.
Perkara itu disahkan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin yang memaklumkan tempat menarik di Malaysia itu juga berdasarkan data Google Maps dari 20 Februari tahun lalu hingga 21 Mac lalu.
Menurut beliau, kejayaan itu sekali gus dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke bandar raya ini bersempena Tahun Melawat Ipoh 2023 dan Tahun Melawat Perak 2024.
"Lima taman popular yang direkodkan di Malaysia iaitu Taman KLCC, 99 Wonderland Park, Taman Saujana Hijau Putrajaya, Anjung Floria dan Taman Rekreasi Gunung Lang.
"Kita dapat lihat Taman Rekreasi Gunung Lang turut direkodkan dalam carian kategori taman popular," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Julai, di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini, pada Isnin.
Rumaizi menambah, data direkodkan Google juga mendapati ramai pengembara luar dari Singapura, Australia dan Indonesia berkunjung ke tempat menarik di Malaysia pada suku pertama tahun ini.
"Antara tempat menarik paling digemari pengunjung dari negara berkenaan adalah Pantai Pengkalan Balak, Melaka, iaitu sebuah pantai tempatan yang popular mudah berkunjung.
"KLCC Park di Kuala Lumpur menjadi pilihan pengunjung terbabit, selain Muzium Negara bagi mengetahui tentang sejarah dan budaya," katanya.
Selain itu, jelas beliau, data Google juga menyenaraikan lima pantai awam popular iaitu Pantai Pengalan Balak, Melaka D'Aur Beach Resort, Pantai Tanjung Biru, Pantai Batu Hitam Kuantan dan Pantai Batu Layar, Kota Tinggi.
Katanya lagi, bagi lima muzium popular pula merangkumi Muzium Negara, Pinang Peranakan Mansion, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara, Muzium Kebudayaan Borneo dan Muzium Wonderfood.