Taman Perindustrian Jaya di Ara Damansara ditutup akibat kebocoran gas amonia - PDRM

Fareez Azman
Oktober 25, 2023 14:03 MYT
Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebocoran gas di sebuah kilang ais di lokasi kejadian itu kira-kira jam 10.17 malam Selasa. - Sumber foto PDRM
KUALA LUMPUR: Taman Perindustrian Jaya di Ara Damansara, Selangor ditutup kepada orang awam susulan berlaku kebocoran gas amonia pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima panggilan berhubung kebocoran gas dipercayai dari sebuah kilang ais di lokasi kejadian kira-kira jam 10.17 malam, Selasa.
"Kawasan persekitaran Taman Perindustrian Jaya yang mempunyai keluasan lebih kurang 400 meter telah ditutup untuk orang awam disebabkan siasatan mendapati bacaan indkes pencemaran sebanyak 200 Parts Per Million (PPM)," jelas Mohamad Fakhrudin, dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Menurutnya, sejumlah tiga pegawai dan 24 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dengan serta tiga pegawai dan 15 anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Tambahnya, setakat ini tiada mangsa dilaporkan terkesan akibat kejadian itu.
Lokasi kejadian itu telah dibuka semula pada jam 1.15 tengahari ini (Rabu) selepas ditutup sejak malam tadi.
"Pihak polis menasihatkan kepada penduduk berdekatan yang terhidu bau gas dan mengalami simptom pening-pening serta muntah, perlulah memaklumkan segera kepada pihak polis dan mendapatkan rawatan di hospital," jelasnya.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak berada di lokasi kejadian dan menggunakan laluan tersebut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
#kebocoran gas amonia #Taman Perindustrian Jaya #Polis Diraja Malaysia #kilang ais
;