Taman Negeri Royal Belum terima akreditasi CA|TS

Bernama
Mac 31, 2023 16:46 MYT
Pengiktirafan itu mencerminkan dedikasi untuk melindungi Harimau Malaya yang sangat terancam dalam Royal Belum. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Taman Negeri Royal Belum, di bawah pengurusan Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC), menerima akreditasi berprestij Pemuliharaan Terjamin|Standard Harimau (CA|TS) sebagai pengiktirafan atas usaha dan komitmen pemuliharaan harimau yang cemerlang.
Kejayaan itu dicapai menerusi kerjasama dengan Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, yang memberi panduan dan sokongan sepanjang proses akreditasi itu.
Menurut WWF Malaysia dalam kenyataan, kelulusan akreditasi itu membuktikan komitmen PSPC dan Taman Negeri Royal Belum dalam menyokong usaha pemuliharaan harimau dan meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di rantau ini yang melaksanakan CA|TS.
"WWF-Malaysia telah bekerjasama dengan PSPC sejak 2017 untuk mendapatkan kelulusan ini, dengan membantu implementasi standard dan memantau erat pematuhan standard tersebut," menurut kenyataan itu.
CA|TS ialah skim akreditasi global yang menggalakkan kawasan pemuliharaan harimau untuk mencapai standard dan amalan terbaik, sekali gus memulihkan populasi haiwan itu.
Menurut kenyataan itu, PSPC telah melaksanakan siri inisiatif untuk mencapai pematuhan standard seperti pengukuhan pengurusan, perjawatan, hubungan dengan pihak berkepentingan, penglibatan komuniti dan perlindungan populasi harimau.
"Inisiatif ini termasuk pemantauan rapi menerusi WWF-Malaysia Projek 'Stampede' melibatkan Orang Asli melakukan rondaan secara tetap di dalam hutan Taman Negeri Royal Belum dan menubuhkan pasukan rondaan Jahai Asli dan Menraq untuk melindungi harimau.
"Selain itu, pemantauan berterusan harimau dan populasi mangsa haiwan itu juga dilakukan oleh WWF-Malaysia untuk menilai impak daripada inisiatif-inisiatif ini," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah PSPC Mohamed Shah Redza Husein berkata mereka bangga menerima kelulusan CA|TS dan berterima kasih atas sokongan berharga WWF Malaysia.
"Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi kami untuk melindungi haiwan megah Harimau Malaya yang sangat terancam ini dalam Royal Belum, dan diharapkan taman ini boleh terus menjadi 'kubu kuat' populasi harimau di negara ini untuk tahun-tahun mendatang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia Sophia Lim berkata ia adalah langkah yang siginifikan ke arah mewujudkan impak pemuliharaan jangka masa panjang untuk Harimau Malaya.
"Dengan kelulusan CA|TS, kami yakin usaha pemuliharaan yang sedang dijalankan di Belum-Temenggor akan lebih kukuh. Ini juga memberitahu dunia bahawa kita (Malaysia) komited dan kini sebaris dengan Nepal dan Rusia dalam melindungi harimau kita.
"Kami gembira langkah yang diambil di Nepal dan negara lain dengan sokongan WWF menunjukkan hasil: situasi menang menang untuk manusia dan alam sekitar. Kami melihat ada harapan cerah, iaitu bersama PSPC, usaha kami akan membolehkan angka Harimau Malaya berganda, atau, sekurang-kurangnya meningkat, dalam masa terdekat," tambahnya.
-- BERNAMA
#Taman Negeri Royal Belum #akreditasi #WWF Malaysia #harimau #pemuliharaan
;