Taman Eko Rimba Komanwel tawar kedamaian rimba buat warga kota

Bernama
Oktober 16, 2021 12:39 MYT
Taman Eko Rimba Komanwel di Rawang menawarkan kedamaian buat mereka yang ingin lari daripada tekanan dan hiruk-pikuk di kota. - Gambar Facebook Resort Taman Eko Rimba Komanwel
KUALA LUMPUR: Ibarat berada di pelosok hutan belantara, begitulah perasaan yang boleh digambarkan sebaik sahaja melangkah masuk ke Taman Eko Rimba Komanwel.
Hakikatnya, lokasi pelancongan di Rawang yang jaraknya kira-kira 30 Kilometer dari ibu negara itu hanya mengambil masa kurang sejam untuk sampai melalui akses mudah antaranya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).
Suasana hening dengan kicauan burung dalam kehijauan rimba di kawasan yang merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Kanching itu, tentunya berupaya menghilangkan kekusutan dan membawa pengunjung melupakan seketika tekanan dan hiruk-pikuk di kota tanpa perlu memandu jauh.
Bercerita lanjut, Pegawai Hutan Daerah Hulu Selangor, Zulkurnain Zakaria berkata, kawasan rekreasi yang mampu menampung sehingga 400 individu pada satu-satu masa dan dilancarkan pada 1993 itu sering menjadi tumpuan dan pilihan keluarga untuk beriadah serta menjalani aktiviti seperti berkhemah dan berkelah.
"Kawasan ini bersifat mesra keluarga kerana air terjun dan sungai yang cetek (separas lutut dan buku lali) dan tidak berarus deras, jadi ibu bapa kita tidak terlalu khuatir dengan aspek keselamatan anak-anak untuk aktiviti mandi-manda," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, pengunjung juga akan diberi pendedahan mengenai lebih 10 spesies tumbuhan yang terdapat di taman berkeluasan lebih 300 hektar itu dalam usaha menyemai perasaan mencintai alam semulajadi terutama kepada generasi muda.
Zulkurnain berkata, antara spesies yang istimewa adalah Merawan Kanching atau nama saintifiknya Hopea subalata Symington, tumbuhan yang dikategorikan sebagai sangat terancam dan habitatnya hanya pernah ditemui di Hutan Simpan Kanching.
"Kami juga merancang untuk menambah tanaman buah-buahan nadir yang semakin jarang ditanam seperti tampoi, macang, keladan dan bangkong bagi memulihara dan memastikan spesies ini tidak pupus dan masih boleh dinikmati generasi akan datang," jelasnya.
Kawasan itu turut dilengkapi kemudahan seperti surau, tandas, dewan dan pondok rehat selain menawarkan penginapan seperti chalet serendah RM50 sehari serta sewaan tapak khemah sebanyak RM10.
Zulkurnain turut mengingatkan orang ramai agar bertanggungjawab menjaga kebersihan khazanah alam itu dengan tidak meninggalkan sampah atau merosakkan tumbuhan selain menjaga keselamatan diri ketika beriadah.
Katanya, bagaimanapun kawasan tersebut yang ditutup sementara kepada umum sejak Mei lepas susulan Perintah Kawalan Pergerakan dan larangan bagi aktiviti rekreasi di kemudahan awam serta kawasan terbuka, kini sedang dalam proses penyelenggaraan dan pemangkasan pohon bagi menjamin aspek keselamatan pengunjung.
Ia dijangka dibuka semula kepada umum pada pertengahan bulan depan khusus buat individu yang lengkap vaksinasi dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara. - BERNAMA
#Taman Eko Rimba Komanwel #Hutan Simpan Kanching #Rawang #hutan rimba
;