Taman Eko Rimba di Selangor dibuka semula bermula 1 Feb

Bernama
Januari 19, 2023 08:00 MYT
Disember tahun lalu, JPNS mengeluarkan notis penutupan semua tempat perkelahan, perkhemahan dan hutan rekreasi di bawah pengurusan jabatan itu susulan amaran cuaca buruk dan musim tengkujuh. - Facebook Taman Eko Rimba Komanwel
SHAH ALAM: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan pembukaan semula Taman Eko Rimba dan aktiviti pendakian di negeri ini bermula 1 Feb depan.
JPNS berkata pembukaan semula itu meliputi enam Taman Eko Rimba dan jalur pendakian di tiga kawasan iaitu daerah Hutan Hulu Selangor, Hutan Selangor Tengah dan Hutan Pantai Klang.
"Sila dapatkan permit di pejabat daerah hutan terdekat iaitu Pejabat Hutan Hulu Selangor, Pejabat Hutan Selangor Tengah dan Pejabat Hutan Pantai Klang," katanya dalam hantaran di Facebook.
JPNS turut memaklumkan perkhidmatan malim gunung perhutanan bagi Selangor berkuat kuasa pada tarikh sama meliputi 18 gunung serta bukit dan para pendaki wajib mempunyai permit mendaki di kawasan tersebut.
Hubungi Persatuan Malim Hulu Selangor di talian 019-9194471 atau Persatuan Malim Gunung Perhutanan Selangor di talian 018-9741651 untuk perkhidmatan Malim Gunung Perhutanan (MGP).
Pada Disember tahun lalu JPNS mengeluarkan notis penutupan semua tempat perkelahan, perkhemahan serta hutan rekreasi di bawah pengurusan jabatan itu susulan arahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor mengenai amaran cuaca buruk dan musim tengkujuh.
-- BERNAMA
#pembukaan semula #taman eko rimba #mendaki #malim gunung
;