Taman Dinosaur pertama di Perak akan bertapak di Taman Rekreasi Gunung Lang
Aida Aziz
Ogos 4, 2023 05:45 MYT
Ogos 4, 2023 05:45 MYT
IPOH: Dinosaur Park atau Taman Dinosaur pertama di Perak bakal diwujudkan di Taman Rekreasi Gunung Lang di sini, yang membabitkan kawasan seluas enam ekar.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pembinaan taman tersebut menjadikan ia sebagai yang ketujuh di Malaysia selepas Pulau Pinang, Genting, Kuala Lumpur, Kuantan, Melaka dan Tuaran.
Menurutnya, antara keunikan yang bakal diketengahkan di lokasi ini adalah ia merupakan yang pertama terletak di eco park serta berada dalam kawasan Geopark Lembah Kinta.
"Pembinaan Dinosaur Park di Gunung Lang ini akan meliputi dua fasa iaitu pembinaan fasa pertama akan dimulakan sebaik sahaja kesemua pelan diluluskan dalam tempoh pembinaan antara enam hingga lapan bulan.
"Kawasan seluas lebih kurang enam ekar itu akan meliputi 30 statik dan animatronic dinosaurs serta pusat pembelajaran seluas 2,500 kaki persegi.
"Ia boleh menampung sehingga 100 pelajar pada satu satu masa serta akan memberi pengetahuan berkenaan habitat, paleontology dan maklumat tentang dinosaur. Selain itu juga ada kedai cenderahati," katanya.
Rumaizi berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Cadangan Pembinaan Dinosaur Park di Taman Rekreasi Gunung Lang dengan pihak Syarikat PEBEC Berhad, di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi PEBEC Berhad, Norali Nordin dan Konsultan Principal PEBEC Berhad, Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Datuk Seri Adnan.
Rumaizi berkata, anggaran kos bagi pembinaan taman itu adalah sebanyak RM7 juta.
"Fasa pertama insya-Allah bermula tahun depan bersempena Tahun Melawat Perak, ia akan siap dalam tempoh enam hingga lapan bulan.
"Fasa kedua akan dimulakan dalam tempoh satu tahun dari tarikh pembukaan namun bergantung kepada sambutan.
"Ia akan merangkumi teater 3D/4D dan kawasan permainan air," tambahnya.
Ditanya mengapa Gunung Lang dipilih sebagai lokasi Taman Dinosaur, beliau menjelaskan lokasi itu menjadi carian utama di Google Maps bagi pengunjung dalam dan luar negara.
"Selain pengunjung domestik, ia turut membabitkan carian dari negara Indonesia, Singapura dan Australia. Gunung Lang menjadi antara lima taman popular di Malaysia menurut Google Maps.
"Dalam tempoh sebulan saja terdapat sebanyak 20,000 hingga 30,000 pengunjung datang ke Gunung Lang, dengan adanya penambahan ini pastinya menambah kehadiran pengunjung ke sini," katanya.