Taman Botanikal Perlis berpotensi jadi tarikan pelancongan baharu
Bernama
September 27, 2024 16:37 MYT
September 27, 2024 16:37 MYT
PADANG BESAR: Taman Botanikal Perlis berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu di negeri itu dan usaha perlu dipergiat untuk memanfaatkan kelebihan lokasi berkenaan bersempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata taman botanikal itu diwujudkan sebagai pusat pengumpulan koleksi tanaman nadir iaitu tanaman hampir pupus yang bertujuan mengekalkan manfaat tanaman itu serta menjalankan kajian berterusan untuk generasi akan datang.
"Saya yakin taman ini mampu menjadi antara pusat penyelidikan saintifik, pemuliharaan dan pusat pendidikan yang berkaitan dengan pembangunan botani serta pertanian. Ia juga memberi peluang kepada sektor berkaitan untuk terus berkembang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan taman botanikal itu di Beseri dekat sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Kelab Batu Permata Fosil dan Mineral Malaysia Dr Hisham Hashim.
Mohd Shukri turut menyarankan Kelab Batu Permata Fosil dan Mineral Malaysia yang juga rakan strategik Perlis Geopark mengambil peluang sebaiknya bagi membangunkan taman botanikal berkenaan.
Sementara itu, Mohd Shukri berkata kerajaan negeri berharap Perlis Geopark yang diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan tahun lepas, akan terus berkembang dan mencapai status Geopark UNESCO pada masa depan.
"Ia tidak mustahil memandangkan Perlis Geopark mempunyai kekuatan tersendiri dan berada dalam lingkaran geopark lain yang bertaraf UNESCO seperti Langkawi UNESCO Global Geopark dan Satun UNESCO Global Geopark," katanya.
Dalam pada itu, Hisham berkata taman botanikal itu meliputi kawasan seluas kira-kira dua hektar dengan koleksi tanaman nadir seperti pokok beruas, pokok muyu, jambu kian dan 10 jenis pokok jambu lain serta pokok kari dan pokok kacang berangan yang jarang dijumpai turut ditanam di situ.
"Kami juga akan menyediakan zoo haiwan peliharaan dan pengunjung boleh berinteraksi dengan haiwan-haiwan yang tidak memerlukan permit khas serta membina kawasan perkhemahan bagi peserta kursus atau pengunjung yang berminat dengan tanaman herba," katanya.
Beliau berkata taman botanikal itu akan dibuka kepada orang ramai bermula esok dari pukul 2 petang hingga 12 tengah malam dengan bayaran masuk antara RM7 hingga RM8 manakala pemandu pelancong juga akan disediakan untuk membantu pengunjung.
-- BERNAMA