Talian PERTIWI inisiatif KWP dekati warga kota

Firdaus Azil
April 19, 2020 10:16 MYT
Warga kota kini boleh bertanyakan soalan atau membuat aduan di talian o13 680 6666 dan 013 688 7777 melalui aplikasi Whatsapp.
Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah mewujudkan saluran whatsapp khusus menjadi tempat aduan permasalahan, serta pandangan warga kota untuk meningkatkan lagi kualiti pentadbiran kementerian dan agensi di bawahnya.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif PERTIWI itu membolehkan beliau memberi perhatian lebih kepada warga kota, khususnya isu yang melibatkan soal kebajikan mereka.
“Keutamaan saya tentang kebajikan. Dan perkara berkaitan dengan orang ramai, public interest (kepentingan awam) atau public complaint (aduan awam). Saya tak kata boleh selesaikan semua, tetapi boleh tengok, dan memahami, denyutan warga wilayah supaya saya, bersama-sama ketua jabatan, ketua agensi, dapat fahami dengan lebih dekat.
“Maka mereka yang nak bertanya boleh whatsapp - 013 680 6666 dan 013 688 7777. Bila whatsapp anda akan diminta berikan butiran supaya jangan ada orang salah guna talian. Anda boleh whatsapp, boleh ajukan pertanyaan, syor, cadangan dan sebagainya,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika membuat siaran langsung melalui Facebook rasmi beliau hari ini.
Annuar berkata, inisiatif itu beliau ilhamkan sendiri ekoran kesulitan yang dihadapi warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berpunca dari birokrasi sistem sedia ada.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ketereh itu menzahirkan penghargaan atas usaha Kementerian Kesihatan, serta kesemua agensi dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Selain itu, Annuar berkata, beliau juga gembira melihat peningkatan keupayaan dan kapasiti Kementerian Kesihatan yang mendadak, terutamanya dalam soal membuat ujian saringan berskala besar dengan keputusan yang lebih pantas.
“Saya masih ingat dulu mula-mula kita bermesyuarat, test keupayaan kita hanya sekitar 1,000 hingga -2,000 sehari. Itu empat minggu lalu.
“Hari ini keupayaan dan kapasiti, 10,000 sehari. Kita diberi tahun berita gembira ini kerana ada kaedah baru, di mana KKM dan KP Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) telah maklumkan bahawa rapid test kit (RTK) ini dah ada kaedah ujian dalam masa lebih cepat, iaitu setengah jam dengan kadar ketepatan yang tinggi,” katanya.
Annuar berkata, pihak beliau turut dimaklumkan bahawa kerajaan sudah memesan 200,000 RTK, dan ia memberi manfaat yang besar dalam usaha mengawal penularan di kalangan warga kota.
#Annuar Musa #Kementerian Wilayah Persekutuan #Kuala Lumpur #Labuan #Menteri Wilayah Persekutuan #PERTIWI #Putrajaya #Talian PERTIWI