Tali sauh terputus ketika ribut dipercayai punca Dayang Topaz rempuh pelantar minyak
Nailah Huda
Oktober 27, 2020 12:07 MYT
Oktober 27, 2020 12:07 MYT
MIRI: Insiden membabitkan kapal platform Dayang Topaz pada Selasa pagi dipercayai berpunca daripada tali sauh yang terputus ekoran cuaca buruk sehingga menyebabkan kapal itu melanggar platform pelantar minyak.
Susulan kejadian, seramai 125 kru terpaksa terjun menyelamatkan diri, jelas pemangku Pengarah Bahagian Carilamat & Bantuan Bencana APMM Komander Suzanna Razali Chan ketika dihubungi Astro AWANI.
“Apabila rantai sauh putus, kapal tidak stabil. Tindakan mereka terjun dari kapal bertujuan untuk menyelamatkan diri. Mereka telah menurunkan rakit keselamatan. Selepas mereka terjun, mereka naik ke atas rakit tersebut,” jelas Suzanna.
Aduan pertama diterima oleh Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya kira-kira jam 6.45 pagi tadi dari kapal Sapura Construction yang menerima isyarat kecemasan dari kapal Dayang Topaz di posisi 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri.
Seramai 124 kru kapal berjaya diselamatkan manakala seorang mangsa meninggal dunia.
Empat mangsa yang dilaporkan hilang berjaya ditemukan dalam keadaan selamat tidak jauh dari lokasi kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan lapan kapal dari Petronas dan Shell, sebuah helikopter dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebuah pesawat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta sebuah pesawat dari National Search Coordination Centre Brunei.
Secara keseluruhan, terdapat 187 kru kapal termasuk 185 kru warganegara Malaysia dan dua warganegara Indonesia.
Kesemua mangsa dijangka tiba di Jeti Pelabuhan Miri pada petang Selasa.
#Insiden Dayang Topaz
#Dayang Topaz
#Kapal Dayang Topaz
#Miri
#insiden kapal
#karam
#kapal platform
#maritim