TalentCorp, MARA Corp jalin kerjasama bangun modal insan kompetitif

Kenyataan Media
November 2, 2021 19:23 MYT
MoU tersebut disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto TalentCorp dan MARA Corp
KUALA LUMPUR: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) bagi memperkukuhkan usaha dalam membangunkan modal insan kompetitif yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan tenaga kerja dalam industri dan ekonomi negara khususnya graduan di bawah ekosistem pendidikan MARA.
MoU tersebut disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sinergi antara dua agensi ini mensasarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan profesional kepada graduan di bawah ekosistem pendidikan MARA yang terdiri daripada pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) serta pelajar di bawah tajaan pelajaran MARA.
Di samping itu, kedua-dua pihak juga akan merangka program-program khas yang bersesuaian dengan pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan MARA bagi memastikan graduan yang dilahirkan dapat memenuhi tuntutan industri dan mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi di alam pekerjaan.
TalentCorp yang bertindak sebagai penghubung di antara MARA dan pihak berkepentingan yang terdapat dalam jaringan mereka akan menawarkan inisiatif sedia ada seperti program Nurturing EXpert Talent (NEXT), Structured Internship Programme (SIP), Talent Mobility, Semester Break Programme (SBP), Young Employable Student (YES!) dan #KisahSiswa kepada graduan di bawah MARA.
“Selari dengan komitmen Kementerian Sumber Manusia untuk memperkasakan tenaga kerja Malaysia daripada kesan pandemik dan kalis masa depan, TalentCorp, melalui kerjasama ini akan bertindak sebagai agensi pemudahcara dalam membantu MARA mengenalpasti jurang dan cabaran serta meneroka penyelesaian proaktif secara bersama.
“Usaha ini juga adalah selaras dengan objektif strategik Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mempersiap Keluarga Malaysia mendepani pasca pandemik, terutamanya bagi menjajarkan semula pasaran buruh untuk pertumbuhan yang inklusif dan mampan, serta membangunkan bakat masa hadapan,” kata Datuk Seri M Saravanan, Menteri Sumber Manusia.
Usahasama antara kementerian dalam agenda pembangunan bakat ini merupakan satu platform yang memberi ruang dan peluang kepada graduan untuk mempersiapkan diri di alam pekerjaan.
Menurut Datuk Seri Mahdzir, “Saya percaya kerjasama ini mampu menjadi penghubung laluan kerjaya graduan MARA dengan jaringan syarikat dalam pelbagai industri serta menyediakan satu ruang kerjaya yang lebih signifikan dengan peluang yang lebih baik ditawarkan kepada para pelajar MARA.”
TalentCorp bertanggungjawab melalui mandatnya untuk menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran yang terbaik dalam menyokong perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju. Usaha TalentCorp dipacu oleh kerjasama erat dengan pelbagai kementerian, pihak berkepentingan di dalam industri dan institusi pengajian menerusi inisiatif yang menumpukan kepada 3 penawaran khidmat utama: Penyaluran, Kepelbagaian dan Mobiliti modal insan di Malaysia.
Manakala MARACorp merupakan syarikat induk milik MARA yang bertanggungjawab mencipta peluang pekerjaan, mewujudkan peluang perniagaan (bisnes) dan membangunkan peluang pemilikan ekuiti serta memastikan peningkatan penjanaan pendapatan syarikat subsidiari di bawahnya dalam memberikan pulangan pelaburan yang baik dan konsisten kepada MARA.
#TalentCorp #MARA Corp #M Saravanan #Mahdzir Khalid
;