'Talasemia rampas separuh daripada keluarga kami' - Ibu
Vivi Sumanti
Januari 23, 2018 14:38 MYT
Januari 23, 2018 14:38 MYT
"Talasemia rampas dua anak kami dan kini seorang lagi masih berjuang untuk terus hidup,'' itu luahan Siti Rahani Seman, 46 tahun yang mempunyai tiga anak penghidap penyakit berkenaan.
Siti Rahani dan suaminya, Ibrahim Daud, 46 tahun dianugerahkan lima anak dengan tiga daripadanya adalah penghidap talasemia.
Talasemia adalah kumpulan penyakit yang menghalang badan daripada menghasilkan jumlah darah yang mencukupi dan berkualiti.
Keadaan ini disebabkan oleh perubahan terhadap gen yang mengawal penghasilan hemoglobin.
2013 merupakan tahun yang muram bagi keluarga ini apabila kehilangan anak ketiga, Muhammad Sazuan, 17 tahun dan diikuti Muhammad Asyraf, 24 tahun pada Oktober lepas.
Kini Umi Suraya, 19 tahun masih berjuang untuk meneruskan hidup sehingga perlu menggadaikan masa depan.
"Dia (Umi Suraya) selalu penat dan muka pucat jadi bila dapat tawaran ke kolej, terpaksa ditolak sebab fikir kesihatan dia.
"Anak akak ni memang talasemia, kurang darah merah dan setiap tiga bulan sekali memang kena tambah darah,'' kata Siti Rahani ketika ditemui di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Jeram Tekoh.
"Tempoh berada di hospital pula bergantung kepada bekalan darah," jelasnya.
Namun bagi Siti Rahani, itu semua hanya dugaan buat mereka walaupun pahit, mereka sekeluarga tetap reda dengan ketentuanNya.
Dua lagi anak pasangan ini, bebas penyakit merbahaya berkenaan dan kini salah seorangnya sudah bekerja sementara seorang lagi masih belajar di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Krai.
Siti Rahani kini hanya mampu berharap, talasemia tidak akan mejadi perampas satu lagi anak kesayangannya.
#anak
#hemoglobin
#Hospital
#Ibrahim Daud
#keluarga
#kesihatan
#Kuala Krai
#MARA
#meninggal dunia
#Muhammad Asyraf
#Muhammad Sazuan
#Penghidap Talasemia
#Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Jeram Tekoh
#Sains
#Siti Rahani Seman
#talasemia
#Umi Suraya