Takziah buat keluarga Adib - Najib Razak
Firdaus Alauddin
Disember 17, 2018 02:14 MYT
Disember 17, 2018 02:14 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan perasaan sedih tentang pemergian anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim.
Menerusi akaun Twitternya, bekas perdana menteri itu mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
Muhammad Adib, 24 tahun, yang parah dipukul susulan insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu, meninggal dunia pada pukul 9.41 malam tadi.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di Institut Jantung Negara (IJN).
Muhammad Adib dipindahkan ke IJN selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang susulan insiden rusuhan di kuil di USJ 25 itu pada 27 Nov lalu.
Difahamkan, jenazah Muhammad Adib akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah malam ini untuk dikebumikan.
Pada Ahad, IJN melalui satu kenyataan memaklumkan kesihatan Muhammad Adib kembali merosot apabila paru-parunya gagal berfungsi.