Takut mati di tali gantung, wanita tertipu hampir RM500,000

Bernama
Februari 27, 2019 13:10 MYT
Sindiket yang melibatkan seorang individu yang menyamar sebagai petugas polis mendakwa ada dua tunggakan bayaran di sebuah bank yang boleh diselesaikan dengan membayar kepada mereka. - Gambar hiasan
Seorang wanita di Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini kerugian hampir setengah juta ringgit selepas diperdayakan oleh satu sindiket yang kononnya dapat menyelamatkannya daripada hukuman gantung sampai mati.
Sindiket yang melibatkan seorang individu yang menyamar sebagai petugas polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan itu turut mendakwa wanita berumur 53 tahun itu ada dua tunggakan bayaran di sebuah bank yang boleh diselesaikan dengan membayar kepada mereka.
"Kerana ketakutan, wanita yang merupakan penjual minuman soya itu telah melakukan tujuh transaksi melibatkan wang berjumlah RM476,000 yang dimasukkan ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan oleh sindiket itu," kata Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A.A. Anbalagan hari ini.
Katanya, mangsa mula dihubungi anggota sindiket itu dalam bulan Disember lepas dan ekoran terpedaya dengan sindiket itu, dia telah mengeluarkan wang simpanannya di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan menggunakan wang hasil perniagaannya untuk diberikan kepada sindiket itu.
"Apabila anggota sindiket itu tidak lagi menghubunginya selepas pembayaran dibuat, mangsa mula merasai dirinya ditipu dan seterusnya membuat laporan polis semalam," kata Anbalagan sambil menambah, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -- Bernama
#Amanah Saham Bumiputera #ASB #Bayan Lepas #kes tipu #Polis Negeri Sembilan #sindiket #Sungai Ara #tali gantung
;