Taktik seludup mercun dikesan UUP

Astro Awani
Julai 16, 2013 18:30 MYT
Taktik menyeludup masuk pelbagai jenis mercun dan bunga api gagal setelah setelah dua lelaki berusia 29 dan 59 tahun diberkas malam tadi ketika anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) berbuka puasa.
Ini merupakan taktik pertama yang dikesan UPP Bukit Kayu Hitam sepanjang Ramadhan bagi membolehkan mereka menyeludup bahan berbahaya dan mengaut keuntungan dengan menjual mercun berkenaan.
Menurut Komander UPP Bukit Kayu Hitam, ASP Shahidan Ladin dalam operasi itu pelbagai jenis mercun dan bunga api dirampas dari dua buah kereta berasingan yang bernilai kira-kira RM800.
Mereka yang merupakan rakyat tempatan, ditahan di kilometer 1.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah Changlun kira-kira pukul 8.45 malam ketika cuba memasuki Malaysia.
Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta dari Pulau Pinang mendapati terdapat pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM500 yang diletakkan di bawah tempat letak kaki penumpang belakang.
Pada masa sama sebuah lagi kereta jenis Proton Saga dari Alor Setar diperiksa dan menemui mercun dan bunga api yang disorok di bawah peralatan pertukangan bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
Selain itu, suspek turut membawa masuk 30 bungkus tepung beras dan 75kg beras pulut dipercayai untuk dijual di pasar malam.
Menurut Shahidan, kawalan di pintu sempadan akan diperketatkan lagi terutama menjelang malam dan waktu berbuka puasa di mana penyeludup mengambil kesempatan untuk lolos dengan barangan terlarang.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, jika disabit salah mereka boleh didenda membayar sebanyak 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
Sementara itu pihaknya turut merampas 500 liter minyak petrol bernilai lebih RM900 yang cuba diseludup keluar dari Malaysia ke Thailand oleh seorang rakyat negara itu yang berusia 31 tahun.
Kenderaan suspek yang mempunyai tangki tambahan di belakang dan hadapan itu ditahan oleh sepasukan anggota UPP Bukit Kayu Hitam di kilometer 1.3 lebuhraya Utara-Selatan arah Thailand kira-kira 3.20 petang semalam.
Kes tersebut pula disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barangan kawalan dan jika disabit salah dan jika ia kesalahan pertama suspek, denda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara dan jika kesalahan kedua denda sebanyak RM200,000 atau denda lima tahun penjara.
#Bukit Kayu Hitam #mercun #seludup #uup
;