Taktik menyamar bot tempatan gagal, 24 nelayan Vietnam ditahan

Nur Fazlizai Ali
Mei 30, 2021 08:02 MYT
Taktik licik tiga bot nelayan Vietnam yang menyamar dengan menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan gagal apabila mereka ditahan APMM. -Astro AWANI
KEMAMAN: Taktik licik tiga bot nelayan Vietnam yang menyamar dengan menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan gagal apabila 24 krunya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata kesemua bot terbabit dikesan sekitar jarak 31 hingga 35 batu nautika di timur laut Kuala Kemaman kira-kira jam 4.10 hingga 4.50 pagi pada Jumaat.
Katanya, ketika melakukan rondaan, pihak APMM telah terserempak dengan bot terbabit yang kesemua krunya sedang leka menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati 24 nelayan Vietnam termasuk tiga tekong berusia di antara 20 dan 44 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tekong bot pula mengemukakan permit kerja serta lesen bot yang meragukan.
Susulan penahanan itu, APMM berjaya merampas peralatan mencandat sotong serta bekalan diesel sekitar 1,500 liter.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM2.4 juta.
Kesemua tahanan serta hasil rampasan dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.
Susulan tangkapan, Rashidilhadi berkata pihaknya juga menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sekiranya ada nelayan tempatan yang menyewakan permit mereka kepada nelayan asing bagi mengaut keuntungan.
"Kita bekerjasama erat dengan Jabatan Perikanan Negeri untuk mengenal pasti pengusaha yang telah menyewakan lesen mereka kepada pengusaha dari negara Vietnam dan mereka menggunakan pelbagai helah dan cara untuk masuk ke perairan negara kita," kata Rashidilhadi.
Tambah Rashidilhadi, sejak awal tahun ini, pihaknya telah berjaya menahan 25 bot nelayan Vietnam di mana lima daripadanya didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi tanpa lesen yang sah, serta Akta Imigresen 1959/63.
#nelayan #warga asing #Vietnam #APMM #Rashidilhadi Abd Rashid #Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #lesen bot tempatan #Komander Maritim
;