Taktik licik GRO bersembunyi di sebalik tokong ibadat, celah kotak terbongkar

Aida Aziz
November 8, 2019 07:46 MYT
Jabatan Imigresen Perak tahan 28 GRO warga Vietnam yang bersembunyi di sebalik pintu rahsia dan di celah kotak minuman keras dalam serbuan di Ipoh. - Foto Astro AWANI
Taktik licik 28 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam yang bersembunyi di sebalik pintu rahsia diperbuat daripada tokong ibadat, berjaya dikesan oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia Perak di sebuah pusat hiburan di Jalan CM Yusof, di sini, malam tadi.
Turut ditahan, dua GRO yang bersembunyi di celahan kotak minuman keras untuk mengaburi pihak berkuasa dalam serbuan yang dijalankan bermula jam 11 malam itu.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri, Kamalludin Ismail, tangkapan membabitkan 30 wanita warga Vietnam dan dua lagi warga tempatan yang dipercayai majikan kepada GRO terbabit.
Katanya, dalam serbuan dijalankan oleh 17 pegawai serta anggota Jabatan Imigresen Perak, didapati wanita warga Vietnam yang ditahan berusia di antara 22 hingga 35 tahun.
"Tempat pertama, kita temui beberapa orang gadis Vietnam ini bersembunyi di dalam bilik rahsia di belakang tempat sembahyang. Mereka tak sempat nak memanjat dan pergi lebih jauh lagi.
"Dan, dua lagi warga Vietnam kita tahan di celah-celah kotak minuman keras. Jadi, kita rasa semua tangkapan kita tak dapat bolos," katanya menerangkan dua tempat persembunyian wanita-wanita itu.
"Dengan kecekapan pegawai kita, kita dapat mengumpul dan menangkap warga Vietnam yang kita syaki bekerja sebagai GRO dan pelacur.
"Kita dapati mereka ini ada kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Kita akan dakwa atau kompaun mereka,” tambah Kamalludin, ketika ditemui di lokasi serbuan, malam tadi.
Ujarnya lagi, siasatan awal mendapati antara kesalahan wanita warga asing yang ditahan itu ialah tiada dokumen perjalanan yang sah dan salah guna pas perjalanan.
Tambahnya, mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Perak bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
#Akta Imigresen #GRO #hiburan #Imigresen #Ipoh #Kamalludin Ismail #kompaun #majikan #pelacur #pintu rahsia #pusat hiburan #rumah ibadat #salah guna pas perjalanan #serbuan #siasatan #tempat sembahyang #tokong #Vietnam #wanita #warga asing
;