Taktik isi diesel di stesen minyak jauh dari sempadan gagal

Sinar Harian
November 8, 2023 20:19 MYT
Azman berkata, pihaknya telah menyita anggaran 425 liter minyak diesel bersama sebuah kenderaan jenis Proton Waja berpendaftaran tempatan. - Gambar Sinar Harian
PASIR PUTEH: Taktik penyeludup yang membuat isian diesel di beberapa buah stesen minyak di daerah yang jauh dari sempadan negara dengan tujuan mengaburi pihak berkuasa gagal apabila berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dalam Ops Tiris.
Kejadian itu dikesan pada jam 3 pagi pada Rabu di sebuah stesen minyak di Jalan Selising di sini dipercayai untuk dibawa ke pangkalan haram sebelum diseleweng ke Thailand.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya telah menyita anggaran 425 liter minyak diesel bersama sebuah kenderaan jenis Proton Waja berpendaftaran tempatan.
"Risikan awal mendapati beberapa orang suspek dengan kenderaan masing-masing sedang membuat pembelian pengisian disyaki ke dalam tong-tong jeriken dan tangki ubah suai secara berulang di beberapa stesen minyak sekitar Pasir Putih.
"Walau bagaimanapun suspek menyedari kehadiran kami semasa serbuan dilakukan dan telah bergegas melarikan diri serta meninggalkan sebuah kenderaan bersama tong-tong jeriken," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM967.50 dan sebuah kenderaan dengan nilai rampasan sebanyak RM10,000.
Ujarnya, kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Azman memberitahu, turut diambil tindakan kes terhadap stesen minyak dan akan disiasat bersama pemilik sama ada bersubahat atau sebaliknya dengan penyeludup tersebut bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Kami memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini, seterusnya tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.
"Dalam masa yang sama, juga kami sentiasa mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan Pemantauan Rondaan Pencegahan Penyelewengan Subsidi dan Ops Tiris di stesen-stesen minyak sekitar sempadan negara dari masa ke masa," katanya.
#seleweng diesel #Kelantan #sempadan thailand #Ops Tiris
;