Taktik baharu nelayan asing berjaya dipatahkan - APMM
Bernama
Mei 3, 2019 18:38 MYT
Mei 3, 2019 18:38 MYT
Cubaan nelayan asing mengubah modus operandi dengan merompak hasil laut negara berhampiran sempadan Malaysia-Vietnam gagal apabila berjaya kegiatan mereka ditumpaskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dalam satu operasi Selasa lepas.
Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi MD Deris @ Abd Rashid berkata dalam operasi itu pihaknya menahan enam bot nelayan asing, dan percaya taktik baharu itu digunakan supaya mereka mudah meloloskan diri serta mengelak daripada ditahan pihak keselamatan negara.
"Mereka tidak berani lagi menceroboh masuk terlalu dalam ke perairan negara kerana kekerapan operasi dilakukan APMM sejak kebelakangan ini," katanya pada sidang media di Pangkalan Maritim Kemaman di sini hari ini.
"Sebab itu mereka hanya berani menceroboh sekitar kawasan pelantar cari gali minyak sempadan perairan sahaja, namun kita tetap banteras habis-habisan dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia yang melakukan rondaan sepanjang masa," tambahnya.
Beliau berkata dalam operasi melibatkan 40 penguatkuasa dan pegawai APMM itu, 37 nelayan Vietnam termasuk tekong berumur 21 hingga 60 tahun ditahan sekitar 154 hingga 160 batu nautika dari Timur Laut Kuala Kemaman.
Turut dirampas 90kg ikan bercampur-campur, 18kg sotong kering, 600 liter diesel dan peralatan menangkap ikan di kesemua enam bot berkenaan yang dianggarkan bernilai RM3 juta, katanya.
Rashidilhadi berkata kesemua nelayan asing serta bot dan hasil rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman, pagi semalam.
Beliau berkata ketegasan APMM dalam membanteras pencerobohan nelayan asing terbukti melalui 40 tangkapan terhadap bot nelayan asing antara Januari dan April lepas, yang melibatkan rampasan bernilai lebih RM36 juta.
"Ia hasil 550 pemeriksaan yang dijalankan sepanjang tempoh berkenaan. Daripada jumlah itu, 304 warga asing majoritinya warga Vietnam ditahan dengan hasil denda dikutip berjumlah RM2.3 juta.
"Kita tidak pernah berpuas hati dengan kejayaan tangkapan-tangkapan ini, sebaliknya akan terus menggunakan pelbagai kaedah operasi bagi melindungi hasil laut dan khazanah negara daripada dirompak nelayan asing," katanya.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
#APMM
#diesel
#ikan
#keselamatan
#nelayan
#nelayan asing
#operasi
#perairan negara
#sotong kering
#tentera
#warga asing