'Taksub' terbitkan makalah: KPI pensyarah perlu berteras negara, masyarakat - MPN
Harits Asyraf Hasnan
Februari 15, 2021 15:05 MYT
Februari 15, 2021 15:05 MYT
KUALA LUMPUR: Sasaran indeks prestasi utama (KPI) para pensyarah perlu diimbangkan dalam memastikan kajian ahli akademik dapat memberi faedah kepada negara dan masyarakat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, semua penyelidikan merupakan pelaburan kepada negara dan industri.
Tegasnya, hasil penyelidikan perlu ditentukan bukan sahaja untuk tujuan akademik atau penerbitan dalam jurnal, malah yang lebih penting adalah untuk membantu kementerian, agensi dan industri menambah baik proses membuat keputusan dasar, polisi dan program-program.
"Peratusan untuk sumbangan kepada masyarakat itu sangat rendah. Kebanyakan universiti letak lima peratus sahaja, seolah-olah itu tidak dipandang tinggi.
"Penerbitan dan penyelidikan adalah 30 peratus, pengajaran 30 peratus, kerja-kerja profesional lain 20 peratus dan kerja-kerja masyarakat lima peratus dan lain-lain dan ini yang perlu kita lihat semula.
"Ia saling berkait kerana kerja masyarakat itu tidak datang begitu sahaja. Ia berdasarkan kepakaran dimiliki dan tidak boleh bergerak sebagai individu sahaja.
"Mana datangnya segala ilmu dan kepakaran itu? Semuanya hasil pengalaman kita mengadakan penyelidikan dan penerbitan. Ini yang perlu kita imbangkan," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia pada Ahad yang menyatakan ada dalam kalangan ahli akademik menerbitkan tulisan akademik atau kajian menggunakan ‘jurnal pemangsa’ sebagai jalan pintas mencapai KPI masing-masing.
Jelas Raduan, perkara itu berlaku disebabkan peruntukan KPI yang tinggi melibatkan penerbitan dan penyelidikan.
"Jurnal 'pemangsa' atau palsu ini nampak ringkas, berbayar dan kadangkala kita tidak tahu kreadibiliti jurnal itu.
"Umpamanya, kita tidak kenal siapa editor mahupun penerbitnya - sebaliknya perkara ini penting untuk kita ketahui sebagai ahli akademik.
"Namun, kadangkala ada (ahli akademik) yang terlalu taksub kepada penerbitan, kerana sekarang ini KPI pensyarah kabanyakannya berteraskan penerbitan.
"Itulah yang menjadi kegilaan baharu untuk menerbitkan dalam jurnal yang pelbagai ini," katanya.
Berkait laporan tersebut, Raduan pada masa sama menegaskan, penerbitan jurnal bukanlah satu-satunya kriteria mutlak dalam penilaian kenaikan pangkat atau perjawatan seseorang ahli akademik.
#Majlis Profesor Negara
#Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose
#ahli akademik
#pensyarah universiti
#penerbitan akademik
#Kajian
#dasar
#polisi
#jurnal pemangsa
#KPI pensyarah