Taksub tarekat: 'Siapa hendak jaga anak dan isteri?' - Pendakwah bebas

Wan Syamsul Amly
Mei 24, 2015 12:10 MYT
MD DAUD: Siapa hendak jaga anak dan isteri kalau terlalu taksub dengan tarekat? -Gambar fail
Banyak kumpulan tarekat di negara ini dilihat lebih memuja dan taksub terhadap ketua kumpulan mereka sendiri semasa melakukan ibadah zikir berbanding menghambakan diri kepada Allah.
Pendakwah bebas Datuk Md Daud Che Ngah berkata ia sekali gus dilihat melencong daripada tujuan asal tarekat itu sendiri yang mahu mendekat dan menghambakan diri kepada Allah.
"Tarekat seperti ini memang banyak diamalkan terutamanya di negara Arab oleh ahli agama yang terlalu warak dan sudah mengasingkan diri dengan duniawi. Mereka hanya mencari akhirat.
"Namun lain seperti yang berlaku di negara kita, cara promosi tarekat menggunakan tarian sambil berzikir dan sebagainya lebih dilihat perbuatan memuja ketua daripada tuhan yang seharusnya disembah.
"Pengikut tarekat banyak yang berzikir dan tunduk kepada ketua, itu hanya contoh, sangat tidak masuk akal jika perbuatan tunduk kepada ketua di dalam bulatan seperti amalan mereka ini kerana dalam beribadat kita hanya tunduk kepada Allah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Siapa hendak sara anak dan bini? Bukan tidak boleh tetapi saya tidak galakkan jika tarekat begini. Jangan melampau beribadat sehingga melupakan terus dunia
Md Daud mengulas laporan sebuah akhbar terhadap pelbagai reaksi yang diterima berikutan pendedahan wujudnya tarekat baharu yang mempunyai kaitan dengan Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah yang diharamkan.
Lapor akhbar itu, ada dakwaan yang dilempar mengatakan mereka yang menulis mengenai tarekat tersebut tidak mempunyai ilmu.
Akhbar itu turut melemparkan persoalan apakah perbuatan seperti baiah, sujud di kubur dan beryaqazah bersesuaian dengan umat Islam di negara ini yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dalam pada itu, kata Md Daud, banyak juga ahli tarekat di negara ini dilihat melampau dan seolah-olah 'membuang' dunia kerana obses dengan ibadat.
"Kalau 24 jam beribadat, siapa hendak sara anak dan bini? Bukan tidak boleh, tapi saya tidak galakkan jika tarekat begini. Jangan melampau beribadat sehingga melupakan terus dunia.
"Ada juga yang tidak ada duit langsung kerana hanya duduk beribadat di masjid sahaja, kita kena ingat, kepercayaan dalam bersederhana adalah paling penting dalam apa juga amalan," jelasnya.
BACA: Buku pengikut Tarekat Tarjani punca solat dua imam serentak
Pada tahun lepas, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad mendedahkan kejadian solat dua imam serentak di Masjid Pondok Banggol Stol, Meranti di Kelantan dipercayai berpunca daripada sebuah buku yang dipegang oleh pengikut ajaran Tarekat Tarjani di situ yang kandungannya didakwa bercanggah dengan ajaran Islam.
Tegasnya, hasil perbincangan antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bersama kumpulan ajaran tarekat tersebut mendapati para penduduk enggan mengikuti solat berjemaah oleh kumpulan itu sehingga mereka membentuk jemaah solat baharu.
BACA: 'Tak logik darah keluar daripada telur goreng' - Pendakwah bebas
Md Daud sebelum ini pernah meminta masyarakat berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan dakwaan di media sosial yang menunjukkan telur goreng mengeluarkan darah selepas dibacakan bacaan surah Al Rukyah yang dipasang daripada laman YouTube.
Jelasnya, paparan di laman sosial itu dianggap tidak logik dan tidak boleh menjadi hukum yang harus dipercayai.
#Kelantan #md daud #tarekat #YouTube #zikir
;