Taksub pemimpin, seleweng akidah antara punca GISB akan difatwa sesat di Selangor

Khalis Khadir
Oktober 4, 2024 14:15 MYT
Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menekankan tentang kesesatan akidah dibawa GISB yang menyimpang daripada ajaran Islam. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Jika minggu lalu khutbah Jumaat di seluruh negeri Selangor berbicara mengenai penganaiyaan dilakukan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd terhadap kanak-kanak, kali ini teks khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menekankan tentang kesesatan akidah dibawa GISB yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Mimbar memperincikan kepercayaan kepada kebangkitan pemimpin al-Arqam yang telah meninggal dunia dan lahir semula sebagai Imam Mahdi antara punca utama ajaran itu akan difatwakan sesat.
Antara kesesatan lain adalah ajaran GISB dikesan memuja pemimpin secara berlebihan, melakukan khurafat dengan percaya ajaran asal al-Arqam seperti minda Abuya adalah wahyu Tuhan selain mengamalkan poligami tanpa mengikut syarak.
“Pengharaman segala fahaman dan ajaran Al-Arqam telah diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor melalui fatwa yang diwartakan pada 4 Februari 1993, 11 Ogos 1994 dan 21 Disember 2006.
“Terkini ialah fatwa (membabitkan GISB) yang telah diperkenan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 3 Oktober 2024 yang sedang dalam proses pewartaan.
“Apabila fatwa ini diwartakan maka ia telah mengikat dan menjadi kewajipan kita setiap orang Islam yang berada dalam negeri Selangor untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa berkenaan,” katanya.
Mengakhiri khutbah, mimbar menegaskan agar umat Islam perlu menolak akidah dipegang oleh kumpulan GISB yang nyata bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Terdahulu, Sultan Selangor perkenan fatwa terkini berkenaan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISB dan rangkaiannya menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.
Ia berikutan hasil keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 30 September lalu disembah maklum kepada baginda untuk diperkenan.
Sembah maklum dilakukan oleh pengerusinya merangkap Mufti Selangor, Datuk Anhar Opir di Istana Bukit Kayangan, di sini, pada Khamis.
Menerusi Facebook Selangor Royal Office, mesyuarat jawatankuasa berkenaan berpuas hati dan meyakini pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB dan rangkaiannya masih mengamalkan Aurad Muhammadiah yang dibawa kumpulan Darul Arqam.
Butiran lanjut mengenai fatwa terkini itu akan dihuraikan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.
#GISB #khubah Jumaat #JAIS #Umat Islam #al-arqam #ajaran sesat #fatwa
;