Taksiran UPSR Sarawak tidak bertentangan dengan dasar pendidikan negara - Fadhlina

Bernama
November 28, 2023 21:02 MYT
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika sidang media pada Majlis Peluncuran Dasar Pendidikan Digital di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) hari ini. - Foto BERNAMA
BANGI: Cadangan Sarawak untuk merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada murid tahun enam di semua sekolah kerajaan di negeri itu, tidak bertentangan dengan dasar pendidikan negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata selagi cadangan itu berkait dengan pentaksiran, bermakna ia masih lagi seiring dengan hala tuju Kementerian Pendidikan (KPM).
"Sekarang, tujuan dan hala tuju kita (KPM) adalah untuk mengukuhkan pentaksiran.
"Jadi, kalau Sarawak masih lagi berada dalam landasan pentaksiran ini, saya fikir ia tidak jauh (bertentangan) dan kita sedia membantu Sarawak mengukuhkan usaha itu," katanya pada majlis pelancaran Dasar Pendidikan Digital (DPD) di Pusat Konvensyen Bangi Avenue hari ini.
Pada akhir Oktober lepas, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata negeri itu bercadang merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan UPSR dan langkah itu sedang diteliti kerana pihaknya percaya, ujian itu penanda aras sebenar untuk menilai prestasi pelajar.
Menurut Roland, perkara itu juga amat penting bagi menentukan aliran yang harus ditempatkan pelajar berkenaan apabila memasuki pendidikan menengah.
Sementara itu, mengenai cabaran guru berusia yang mungkin rasa terbeban dengan langkah pendigitalan di sekolah, Fadhlina berkata KPM mempunyai kumpulan guru yang akan turun padang untuk membantu golongan berkenaan.
"Mungkin mereka ada sedikit cabaran (kuasai pendigitalan) tetapi jangan risau. Kita ada kumpulan-kumpulan guru yang turun untuk membuat kunjung bantu bagi memastikan mereka tidak tertinggal dalam konteks pendigitalan ini," katanya.
Dalam aspek menggunakan sepenuhnya buku teks sekolah secara digital pula, Fadhlina berkata KPM sedang menuju ke arah itu dengan beberapa ruang perlu diperbaiki.
Pada masa sama, beliau berharap kompetensi terhadap penguasaan digital dapat dianjakkan ke tahap lebih tinggi pada 2025, mengambil kira kini hanya dua peratus golongan pendidik negara menguasai sepenuhnya pendigitalan (tahap lanjutan).
"Kita mengadakan siri latihan kompetensi ini sepanjang tahun untuk memastikan mereka benar-benar diangkat daripada tahap asas, pertengahan kepada kumpulan tahap lanjutan.
"Kumpulan lanjutan ini masih lagi sedikit dan kita memerlukan 76 peratus pendidik yang berada pada tahap pertengahan untuk terus dilonjakkan, manakala bagi 22 peratus pendidik yang berada pada tahap asas, mereka mesti ada proses ansur maju dalam kompetensi," katanya.
-- BERNAMA
#taksiran UPSR Sarawak #Ujian Pencapaian Sekolah Rendah #Dasar Pendidikan Negara #Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
;