Takrif pengganas perlu didefinisikan semula

Bernama
Mac 16, 2019 04:42 MYT
Fuziah berkata insiden seumpama di New Zealand itu boleh dielakkan jika semua pihak mengenal pasti potensi ancaman dan melakukan pencegahan awal. - Gambar fail
Takrif pengganas yang digunakan oleh kebanyakan media Barat untuk merujuk kepada agama tertentu terutamanya agama Islam perlu didefinisikan semula bagi mengelak kekeliruan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata sikap tidak adil media Barat yang hanya mengaitkan perkara itu dengan umat Islam adalah tidak adil dan boleh mengundang persepsi negatif.
"Walaupun kita tahu sikap media Barat sememangnya suka mencipta persepsi negatif terhadap agama Islam, namun sudah sampai masanya kita melihat semula dan memberi definisi yang lebih tepat terhadap mana-mana pihak atau individu yang melakukan keganasan.
"Tidak ada agama yang memberikan kebenaran kepada penganutnya melakukan perbuatan yang boleh mencetuskan huru-hara, apatah lagi perbuatan ganas terhadap orang lain... sebenarnya, pengganas ini bukanlah mewakili mana-mana agama pun.
"Apa yang berlaku di Christchurch, New Zealand semalam melambangkan tindakan orang yang 'sakit' dan bukanlah mewakili agama... tindakan menjadikan tempat ibadat sebagai sasaran (melakukan serangan) adalah perbuatan yang sangat tidak boleh diterima," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Alumni Sekolah Menengah (Perempuan) Methodist Kuantan, di sini, pada Sabtu.
BACA: Serangan masjid Christchurch: Tiga rakyat Malaysia cedera, seorang masih hilang
BACA: Tragedi solat Jumaat Christchurch: Netizen 'serang' senator Australia
Fuziah yang juga anggota Parlimen Kuantan berkata insiden seumpama itu boleh dielakkan jika semua pihak mengenal pasti potensi ancaman dan melakukan pencegahan awal, selain memperkenalkan tindakan atau hukuman berat terhadap individu serta kumpulan yang cenderung dalam aktiviti menjurus kepada keganasan.
"Walaupun kita melihat insiden di sana (Christchurch, New Zealand) berkemungkinan besar tidak akan berlaku di Malaysia, namun kita tidak boleh memandang ringan terhadap ancaman dan perkembangan fahaman ekstremis atau radikal yang cuba masuk ke sini.
"Terdapat pihak tertentu juga cuba menjadikan perbezaan agama dan kaum di negara ini sebagai satu isu... perkara ini perlu dihentikan kerana kita bimbang ia boleh mencetuskan perasaan kurang senang dan akhirnya menimbulkan perselisihan faham antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini," katanya.
BACA: Tragedi solat Jumaat Christchurch: 'Islamophobia tidak wujud di New Zealand'
BACA: Serang jemaah masjid Christchurch, tragedi hitam kemanusiaan - Anwar
-- BERNAMA
#agama #Christchurch #definisi #ekstremis #Fuziah Salleh #Islam #kekeliruan #media Barat #New Zealand #pencegahan awal #persepsi negatif #serangan pengganas #Solat Jumaat #takrifan #Tragedi Solat Jumaat
;