Taklimat pembangunan Kelantan dapat maklum balas positif kerajaan Persekutuan - MB
Bernama
Mei 9, 2024 09:10 MYT
Mei 9, 2024 09:10 MYT
KOTA BHARU: Pertemuan kerajaan Kelantan dengan kerajaan Persekutuan pada 2 Mei lepas berhubung pembangunan Kelantan mendapat maklum balas yang amat positif, kata Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata, pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam taklimat pembangunan berkenaan membincangkan banyak perkara yang dicapai demi membantu rakyat di negeri ini.
"Perkara itu telah diumumkan Perdana Menteri antaranya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) akan dinaik taraf menjadi antarabangsa, pembinaan tebatan banjir dan menyelesaikan masalah kekeringan saliran air di sawah-sawah padi.
"Semangat patriotisme kita tinggi dan hubungan kerajaan Kelantan dengan Persekutuan amat baik sejak dulu lagi. Oleh itu, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana membantu kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghantar dan menyampaikan beg cenderamata kepada jemaah haji di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, malam tadi.
Mohd Nassuruddin berkata, hubungan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat amat baik ibarat "ayah" dan "anak".
"Soal perbezaan politik hanya perlu dibahas sewaktu pilihan raya, apa yang utama ketika ini ialah masa untuk membantu rakyat dan membangunkan negeri serta negara," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penaiktarafan terminal LTSIP yang baharu, Mohd Nassuruddin mengharapkan agar ia mempunyai penerbangan haji terus dari Kota Bharu ke Jeddah apabila dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa.
Pada 2 Mei lepas, kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan Kelantan bagi menambah 400 meter lagi landasan di LTSIP untuk menjadikan ia sebagai lapangan terbang antarabangsa.
Anwar dilapor berkata, beliau akan meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk menyegerakan pembinaan LTSIP fasa dua yang dinaik taraf yang sedang dilakukan ketika ini.
Pengoperasian fasa satu LTSIP mampu menampung 1.5 juta penumpang, manakala pembinaan fasa dua dilaksanakan serta-merta yang dijangka dapat menampung empat juta penumpang.
Terminal baharu itu memiliki lebih 20 kaunter penerbangan, parkir kenderaan bertingkat, laluan khas untuk pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang tempat meletak kapal terbang dan sistem operasi tanpa tunai LTSIP untuk memudahkan penumpang.
Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP itu melibatkan kos RM440 juta. - BERNAMA