Taklimat Harian PMO: PM arah segerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan

Nursyazwani Saiful Sham
Mac 3, 2025 11:40 MYT
Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin memberi penekanan berkenaan isu beras putih tempatan yang terus menjadi perhatian di negara ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin memberi penekanan berkenaan isu beras putih tempatan yang terus menjadi perhatian di negara ini.
Sehubungan itu, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menegaskan, Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan di pasaran.
Jelasnya, pemulihan bekalan ini sedang dilaksanakan secara berfasa.
Pada masa sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengarahkan kementerian untuk memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan ini secara berkala kepada rakyat.
Dalam taklimat hari ini, Tunku Nashrul turut mengulangi pengumuman Anwar di Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri pagi tadi, yang mana Perdana Menteri akan membentangkan Rang UndangUndang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 esok.
Katanya, Perdana Menteri yakin RUU ini mengangkat Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara dan menjulang proses demokrasi di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
#Taklimat Harian PMO #bekalan beras putih #PM Anwar Ibrahim #Tunku Nashrul Abaidah
;