Taklimat Harian PMO bukan pengganti jurucakap kerajaan MADANI - Tunku Nashrul
Nursyazwani Saiful Sham
Mac 3, 2025 11:25 MYT
Mac 3, 2025 11:25 MYT
"Taklimat Harian PMO memberi tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja Perdana Menteri, penjelasan beliau mengenai isu-isu semasa yang mendesak," kata Tunku Nashrul.
KUALA LUMPUR: Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak bertindih dengan tugas jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil, tegas Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah.
Tunku Nashrul yang menjalankan tugas tersebut menjelaskan, Taklimat Harian PMO juga bukan pengganti kepada jurucakap kerajaan, sebaliknya, menjadi pelengkap dan memperkukuh struktur komunikasi kerajaan.
"Pejabat Perdana Menteri juga ingin menggunakan ruang ini untuk menjelaskan persoalan yang ditimbulkan membabitkan peranan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri dan adakah ia bertindih dengan tugas jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil? Jawapannya tidak.
"Taklimat Harian PMO memberi tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja Perdana Menteri, penjelasan beliau mengenai isu-isu semasa yang mendesak, serta arahan-arahan kepada kementerian dan agensi untuk memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan.
"Peranan Fahmi selaku jurucakap Kerajaan MADANI pula bertanggungjawab menjelaskan isu dan persoalan yang membabitkan dasar-dasar kerajaan, serta keputusan-keputusan yang dibuat di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri," katanya dalam taklimat harian tersebut pada Isnin.
Menurut Tunku Nashrul lagi, dengan strategi komunikasi yang lebih menyeluruh, kerajaan dapat memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat, di samping mencantas fitnah dan maklumat palsu dengan pantas dan berkesan.