Takkan timbul kemelut dana politik jika saranan GTP diterima dulu - Idris Jala
Astro Awani
Ogos 10, 2015 15:00 MYT
Ogos 10, 2015 15:00 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala menggesa semua pihak mengetepikan kepentingan politik dan peribadi, dan menerima sepenuhnya saranan asal yang dibuat di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) agar pembiayaan dana politik dikawal selia.
Katanya, isu pembiayaan dana politik yang hangat diperkatakan ketika ini tidak akan menjadi isu sekiranya semua pihak menerima saranan tersebut pada 2010.
Untuk memperkasa ketelusan dan kebertanggungjawaban, Hala Tuju GTP ketika itu menggariskan beberapa cadangan berdasarkan amalan terbaik global, antaranya:
1) Derma kepada parti politik mesti dibuat kepada akaun bank parti dan bukan akaun peribadi untuk memastikan ketelusan dan integriti individu
2) Resit mesti dikeluarkan untuk sebarang derma supaya identiti penderma adalah jelas dan nyata
3) Akaun-akaun milik parti-parti politik dan juga semua pihak penderma perlu diaudit, dan dijadikan rekod awam
Antara cadangan GTP yang diutarakan pada 2012 pula termasuk mengukuhkan undang-undang untuk mengawal selia dan mentadbir aktiviti parti-parti politik dan perbelanjaan mereka ketika berkempen semasa pilihan raya.
Idris berkata, sebelum ini pihak kerajaan berulang kali meminta agar saranan GTP berhubung isu itu diterima semua pihak, namun masih tidak mendapat sambutan.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik kenyataan terbaharu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dua minggu lalu yang sekali lagi meminta agar parti-parti politik mengumumkan semua sumber dana politik mereka.
Minggu lalu, Pembangkang berkata pihaknya bersedia untuk menyokong usaha pihak pentadbiran untuk mengawal selia pembiayaan dana politik.
Isu pembiayaan dana politik hangat diperkatakan ketika ini susulan pendedahan derma bernilai RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi Najib oleh seorang penderma dari Timur Tengah.
Idris menggesa agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan membiarkan siasatan yang berjalan ketika ini diteruskan tanpa sebarang gangguan.