Takiyuddin perlu jernihkan keadaan, mohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong - Nazri
Irwan Muhammad Zain
Julai 31, 2021 18:39 MYT
Julai 31, 2021 18:39 MYT
KUALA LUMPUR: Bagi menjernihkan kembali hubungan di antara Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Istana Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan perlu secara sukarela memohon perkenan untuk sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan beliau.
Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika mengulas kemelut yang berlaku antara kerajaan dan Istana Negara.
Nazri menjelaskan, Takiyuddin tidak perlu meletak jawatan tetapi mesti mengambil sikap bertanggungjawab dengan memohon perkenan untuk sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon maaf di atas kesilapan yang berlaku.
"Tidak perlu sampai ke tahap itu (letak jawatan). Namun Takiyuddin boleh secara sukarela memohon perkenan untuk sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan beliau.
"Apa usaha sekalipun, kita masih perlu mendaulatkan institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai institusi tertinggi di negara ini.
"Dalam konflik tercetus antara kerajaan PN dan Istana Negara, titah Yang di-Pertuan Agong adalah tepat dan jelas berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Seri Paduka Baginda tidak salah," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Nazri juga menyangkal dakwaan sesetengah pihak terutama pembangkang bahawa kerajaan PN sudah derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Beliau menjelaskan apa yang berlaku ketika ini hanya disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh Takiyuddin selaku Menteri Undang-Undang.
"Dakwaan itu tidak tepat. Tiada isu kerajaan PN derhaka dan membelakangkan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. Konflik yang tercetus ketika ini hanya disebabkan kesilapan Menteri Undang-Undang," katanya lagi.
Nazri juga menjelaskan titah penjelasan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong berhubung apa yang berlaku adalah tepat.
Beliau juga mempertahankan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berhubung perkara berkenaan.
Katanya, Menteri Undang-Undang tidak sepatutnya menzahirkan perkara yang belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Tindakan beliau mendahului Yang di-Pertuan Agong seolah-olah mahu membelakangkan bidang kuasa yang diperuntukkan terhadap Seri Paduka Baginda.
"Konklusinya, penerangan Tan Sri Annuar Musa adalah tepat, titah penjelasan Yang di-Pertuan Agong juga adalah tepat.
"Sememangnya Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet sendiri tidak menyangka Takiyuddin akan mengeluarkan jawapan yang mendahului bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
"Hal ini disebabkan perkara itu berlaku sewaktu pertanyaan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo kepada Speaker Parlimen, Datuk Azhar Azizan Harun.
"Sepatutnya tidak ada keperluan kepada Menteri Undang-Undang menzahirkan perkara yang belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
"Tetapi Takiyuddin melakukan kesilapan dengan segera bangun menjawab pertanyaan Gobind Singh melalui pemberian jawapan kontroversi berkenaan," katanya lagi.
#Yang di-Pertuan Agong
#Mohamed Nazri Abdul Aziz
#Ordinan Darurat
#Takiyuddin Hassan
#mohon menghadap
#mohon maaf
#Dewan Rakyat
#undang-undang
#Tan Sri Annuar Musa
#letak jawatan
#Perdana Menteri
#Politik Malaysia