Takiyuddin nafi berkahwin lagi dalam tempoh 15 tahun
Muhafandi Muhamad
Oktober 18, 2022 14:58 MYT
Oktober 18, 2022 14:58 MYT
KOTA BHARU: Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini menafikan beliau mendirikan rumah tangga dengan mana-mana wanita dalam tempoh 15 tahun kebelakangan.
Penafian itu termasuk dakwaan beliau bernikah dengan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Tegas Takiyuddin, perkahwinan merupakan isu yang sangat peribadi bagi setiap individu.
“Saya nak beritahu bahawa dalam tempoh 10 tahun ataupun 15 tahun sebelum ini saya tidak pernah mendirikan rumah tangga dengan sesiapa saja.
“10 tahun itu dua kali pilihan raya, 15 tahun itu tiga kali (pilihan raya). Saya... saya tak pernah mendirikan rumah tangga dengan siapa-siapa saja,” kata Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas itu.
Beliau berkata demikian kepada penberita ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dan mesyuarat di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kota Bharu, di sini, hari ini.
Beberapa hari lepas, media melaporkan Takiyuddin berteka teki mengenai status perkahwinannya dengan seorang ahli politik dari Selangor.
Seperti dilaporkan Astro AWANI, Takiyuddin berkata, isteri beliau merupakan seorang pengundi di Malaysia.
"My wife is a voter in Malaysia, so she's considered as a politician, a voter is a politician (isteri saya seorang pengundi di Malaysia, jadi dia dianggap sebagai ahli politik, seorang pengundi adalah seorang ahli politik),"
katanya.