'Takdir mempertemukan kami semula..." - Nazir dedah kisah pertemuan dengan Yati

Gempak
November 18, 2023 13:20 MYT
Nazir berkata, beliau akan mengambil sedikit ruang waktu untuk membalas setiap ucapan dan doa yang dikirimkan kepada mereka satu-persatu. - Gambar/ Gempak
ADIK kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Mohamed Nazir dilaporkan telah sah menjadi suami kepada pilihan hatinya, Yati Zainuddin semalam.
Perkara itu dikongsikan sendiri Nazir menerusi Instagram milik beliau, malam tadi.
"Saya telah berkahwin hari ini (Jumaat) bersama Yati Zainuddin.
"Hidup ini sangat di luar jangka. Kami dahulunya pernah berkawan ketika tahun 1980-an ketika sama-sama belajar di United Kingdom.
"Kemudiannya kami terpisah mengikut haluan hidup masing-masing, dia di New York selama 27 tahun.
"Saya pun tak pernah menyangka dipertemukan semula. Takdir membawa kami bersama, syukur kami dapat membina kehidupan bersama sebagai pasangan. Terima kasih ya Allah atas peluang ini," kongsi beliau.
Mengesahkan perkahwinan mereka, kata Nazir beliau akan mengambil sedikit ruang waktu untuk membalas setiap ucapan dan doa yang dikirimkan kepada mereka satu-persatu.
"Kami melangsungkan pernikahan pada pagi ini (Jumaat). Terima kasih untuk semua ucapan, kami sangat teruja dan akan cuba membalas satu persatu," tambahnya.
Terdahulu, Mohamed Nazir pernah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Azlina Aziz dan dikurniakan dua orang cahaya mata.
Bagaimanapun, pasangan itu dilaporkan bercerai pada tahun ini. - Gempak
#Nazir Razak #Yati Zainuddin #perkahwinan #siapa Yati Zainuddin
;