Takbir Syawal bergema di Edinburgh
Astro Awani
Ogos 9, 2013 17:06 MYT
Ogos 9, 2013 17:06 MYT
Sahut takbir Syawal yang dialunkan oleh umat Islam seluruh dunia tetap dirasai di bumi kelahiran JK Rowling ini. Kemenangan umat Islam disambut dan dialunkan pada malam Syawal dengan rasa syukur dan penuh kegembiraan.
Di sini, seramai lingkungan 70 orang komuniti Malaysia di Edinburgh berkumpul dan bersama-sama meraikan Syawal dengan penuh takzim.
Bagi saudara Iman Hasbullah , selaku Penghulu komuniti Malaysia di sini “Sambutan Aidilfitri kali ini kami raikan bersama-sama. Kami berkumpul, menunaikan solat sunat Aidilfitiri bersama malah turut berkongsi juadah dan Alhamdulillah terubat juga rasa rindu di tanah air."
Seramai 17 keluarga dan para pelajar di Edinburgh turut bersama-sama menunaikan solat sunat Aidilfitri kemudiannya berkongsi juadah bagi menyambut kemeriahan satu Syawal. Tambahan lagi, kemeriahan satu Syawal di sini dapat mengubat rindu terhadap keluarga yang jauh di Malaysia.
Pengubat paling berharga adalah juadah tradisional raya yang dikongsi bersama kesemua keluarga di sini. Dari lemang, rendang hinggalah ke sup tulang kesemuanya tersedia bagi mengubat kerinduan menyambut Syawal di negara kelahiran masing-masing.
Bagi Syahilla Aziz, 27 tahun, "Syawal kali ini merupakan Syawal pertama kami sebagai suami isteri. Ironinya, kami tidak sakit kepala untuk beraya di kampung suami atau saya, sedihnya sebab kami berjauhan dengan keluarga di tanah air.”
Seperti di Malaysia selepas selesai berbuka puasa dan solat Maghrib, komuniti Malaysia di sini turut tidak ketinggalan untuk bersama-sama bertakbir dari rumah ke rumah bagi meraikan kegemilangan dan kedatangan bulan Syawal.
Bagi komuniti Islam di sini, Masjid Besar Edinburgh menjadi tumpuan untuk melaksanakan solat sunat Aidilfitri yang dilakukan dalam tiga sesi iaitu bermula pada pukul 6, 8, dan 10 pagi.