Takbir Aidilfitri dari rumah ke rumah dibenarkan di Perak

Abd Razak Mohd Ali
April 26, 2022 02:30 MYT
Baginda turut memberi perkenan solat sunat Aildilfitri dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di semua masjid dan surau. - Foto BERNAMA
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan agar aktiviti takbir Aidilfitri dari rumah ke rumah tahun ini dibenarkan di seluruh negeri.
Baginda turut memberi perkenan solat sunat Aildilfitri dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di semua masjid dan surau.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, solat sunat Aidilfitri juga boleh diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan-kawasan perumahan, dengan syarat pihak penganjur memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Aidilfitri kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah dan Balai Polis atau Pondok Polis terdekat.
“Baginda memberi perkenan itu berlandaskan sembah nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Selain itu, kata beliau, hidangan jamuan Aidilfitri di masjid dan surau secara terbuka atau bufet dan aktiviti ziarah kubur, juga dibenarkan.
Menurutnya, bermula solat Maghrib, pada Khamis ini, 28 April, hidangan jamuan secara terbuka atau bufet diadakan di masjid dan surau, juga dibolehkan.
“Semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan JKN seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran di MySejahtera,” ujarnya.
Mohd Annuar berkata, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan mereka.
#Aidilfitri #takbir #solat sunat #Sultan Nazrin Muizzuddin