Tak wajar kaitkan 'hari ini menang, esok harga minyak turun' - Anwar

Sinar Harian
Jun 11, 2024 12:00 MYT
Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan pada Selasa. Foto Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan adalah tidak wajar mengaitkan harga minyak semasa dengan ucapan beliau ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), 16 tahun lalu.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa mengaitkan harga minyak semasa dengan ucapan beliau semasa kempen PRU12 16 tahun lalu adalah tidak wajar.
  • Beliau menjelaskan bahawa ketika itu, harga minyak di negara kita lebih tinggi daripada negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi. Kini, harga minyak di negara kita adalah RM2.95 manakala di Arab Saudi adalah RM2.05.
  • Anwar juga menyatakan bahawa walaupun kadar inflasi rendah di ASEAN, ini tidak menjamin bahawa tiada kenaikan harga barangan. Beliau menekankan bahawa harga barang masih naik sedikit walaupun inflasi rendah, dan beliau turun ke bawah setiap minggu untuk memahami kehidupan rakyat.

Jelasnya, pada ketika itu, harga minyak negara lebih tinggi berbanding negara- negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi.
"(Rakaman video) Yang mengatakan saya ulang hari ini menang, esok harga minyak turun.
"Saya sebut itu tahun 2008 kerana harga minyak di Arab Saudi sekitar 50 sen manakala kita RM1.80.
"Sekarang kos sudah bertambah RM2.05 di Arab Saudi dan kita RM2.95, minyak murah ini hanya di Brunei," katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini pada Selasa.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel bermula 10 Jun sebagai langkah pembaharuan utama di bawah rangka kerja Ekonomi Madani.
Harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia diapungkan dan mengikut harga pasaran pada masa ini adalah RM3.35 seliter.
Keputusan kerajaan itu menyebabkan rakaman video berkenaan kembali bertebaran dan menjadi bahan jenaka di segenap media sosial pada minggu ini.
Pada majlis sama, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan menjelaskan kedudukan negara antara kadar inflasi rendah di ASEAN tidak menjamin tiada kenaikan harga barangan meskipun beliau tidak inginkan perkara itu berlaku.
"Saya nak maklum kepada saudara, kita fikir betul-betul, sekarang saya Perdana Menteri, saya tidak mahu kenaikan.
"Kalau kata kadar inflasi rendah, memang rendah tapi maknanya apa? Harga barang naik sikit.
"Saya tidak kata barang tidak naik. Tapi kadang-kadang dalam perbincangan kita (menyebut) Anwar kata barang tidak naik. Tak ada.
"Inflasi yang terendah di ASEAN maknanya kenaikan kecil masih berlaku," katanya sambil menambah beliau turun ke bawah setiap minggu bagi menyelami kehidupan rakyat. - Sinar Harian
#Anwar Ibrahim #harga minyak #hari ini kita menang #esok harga minyak turun #penjelasan Anwar
;