Tak wajar kaitan fenomena ribut suria dengan hari kiamat - Mufti P.Pinang

Sinar Harian
Disember 23, 2023 20:25 MYT
Wan Salim berkata, fenomena alam dengan keadaan bumi bergelap untuk tempoh-tempoh tertentu merupakan satu fenomena biasa. - Gambar fail/Sinar Harian
GEORGE TOWN: Mengaitkan fenomena ribut suria yang dijangka melanda bumi bermula awal tahun hadapan dengan hari kiamat adalah tidak wajar hingga mencetuskan suasana panik dan kegusaran ramai.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, fenomena alam dengan keadaan bumi bergelap untuk tempoh-tempoh tertentu merupakan satu fenomena biasa yang bukan pertama kali berlaku dan boleh dijangka kejadian seterusnya oleh para ahli astronomi.
Malah jelasnya, fenomena itu merupakan sebahagian daripada aktiviti rutin matahari.
"Berdasarkan kajian dari badan-badan berautoriti yang berkaitan dari dalam mahu pun luar negara menjangkakan kesan daripada fenomena ini terhadap bumi adalah pada kadar yang minima. Paling terkesan adalah perkakasan melibatkan elektrik dan elektronik.
"Justeru, mengaitkan fenomena ini dengan keadaan bumi bergelap untuk tempoh-tempoh tertentu serta hari kiamat adalah tidak wajar sehingga mencetuskan suasana panik dan kegusaran awam," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Wan Salim berkata, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya merujuk daripada sumber yang berautoriti dan tidak menyebarkan perkara yang tidak pasti.
Tambahnya, keimanan kita terhadap hari kiamat yang pasti akan terjadi adalah berdasarkan panduan daripada al-Quran dan As-Sunnah.
"Marilah kita menginsafi dan menghayati kekuasaan Allah SWT serta kebesaran-Nya di sebalik fenomena ini.
"Dalam Islam, perkara-perkara yang akan berlaku di masa hadapan tidak diketahui oleh sesiapa melainkan Allah SWT.
"Bahkan Nabi SAW sendiri mengetahui mengenai perkara-perkara ghaib dan masa akan datang berdasarkan wahyu yang disampaikan kepada baginda. Berdasarkan pedoman al-Quran dan Al-Hadis, kejadian bumi bergelap atau matahari tidak kelihatan hanya berlaku dalam tiga keadaan iaitu ketika malam hari, gerhana matahari dan menjelang terbit matahari dari barat sebagai antara tanda besar hari kiamat," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, dalam riwayat hadith dinyatakan bahawa matahari tidak kelihatan selama dua hingga tiga hari sebelum ia muncul semula dari barat.
Katanya, Nabi SAW juga mengingatkan bahawa dengan terbit matahari dari barat bermaksud pintu taubat untuk sekelian manusia telah ditutup.
- Sinar Harian
#ribut suria #hari kiamat #fenomena biasa #Mufti Pulau Pinang
;