"Tak tahu nak cakap macam mana lagi dengan Palanivel"- Saravanan
Israr Khalid
Jun 20, 2015 17:35 MYT
Jun 20, 2015 17:35 MYT
Datuk Seri G.Palanivel perlu akur dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan berhenti daripada terus mencetuskan kekeliruan dalam parti.
Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan berkata, tindakan Palanivel yang berterusan menyangkal keputusan yang dibuat parti, RoS, dan mahkamah akan menambah kekeruhan dalam kepimpinan MIC.
“Saya pun tak paham mengapa dia masih tidak faham. Arahan RoS jelas, pemilihan pada 2009 adalah tidak sah dan perlu diadakan pemilihan semula.
“Sebagai menteri yang juga Ahli Kabinet, dia sepatutnya perlu akur dengan arahan agensi kerajaan itu. Kalau menteri sendiri tidak akur, bagaimana nak harapkan orang lain patuh pada arahan agensi kerajaan?”, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Seminar Agropreneuer Muda Yayasan NAAM Zon Tengah di Putrajaya pada Sabtu.
Pada 15 Jun, Mahkamah Tinggi telah menolak dua permohonan semakan kehakiman oleh Palanivel serta empat individu lain yang mencabar arahan RoS supaya pemilihan semula diadakan.
“Keesokan harinya dia gantung keahlian 15 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). Saya tak tahu nak cakap macam mana lagi dengan dia (Palanivel)”.
Bagaimanapun kemudiannya, CWC MIC memutuskan untuk melucutkan jawatan Presiden yang disandang Palanivel dan melantik Datuk Seri S.Subramaniam sebagai pemangku jawatan nombor satu itu sehingga pemilihan presiden dibuat.
Ia ekoran tindakan Palanivel melanggar Seksyen 91 perlembagaan MIC kerana pergi ke mahkamah tanpa persetujuan CWC, sekaligus melucutkan keahliannya secara automatik.
“Dia perlu sedar bahawa dia bukan lagi Presiden, malah ahli parti. Dia tidak boleh buat keputusan apa-apa”, katanya.
Sementara itu, Saravanan menegaskan bahawa pemilihan baru parti tetap akan dibuat selagi tiada sebarang arahan penangguhan daripada mahkamah.
CWC 2009 telah memutuskan pencalonan bagi pemilihan semula MIC akan dijalankan pada 10 hingga 12 Julai depan dan proses pemilihan di peringkat cawangan akan berlangsung pada 17 hingga 19 Julai serentak di seluruh negara.
Sementara pemilihan presiden akan diadakan pada Ogos, manakala pemilihan peringkat bahagian pula pada September dan akhir sekali pemilihan pusat akan berlangsung pada Oktober.
“Pemilihan parti akan tetap dijalankan. Tamatkan terus kemelut panjang ini”, katanya.