Tak tahan kena marah punca warga Indonesia bunuh majikan
Sinar Harian
Januari 1, 2024 17:30 MYT
Januari 1, 2024 17:30 MYT
MELAKA: Gara-gara dimaki dan dimarahi majikan, dipercayai menjadi punca seorang pekerja ladang warga Indonesia membunuh warga emas lelaki di sebuah pondok kebun kelapa sawit di Sungai Udang di sini pada 22 Disember lalu.
Mangsa yang juga merupakan mualaf berusia 71 tahun ditemui mati dengan kesan kecederaan di belakang kepala berukuran setengah inci pada jam 1.20 pagi, 27 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, penemuan mayat di kebun tersebut selepas anaknya membuat laporan polis bapanya tidak dapat dihubungi sejak 11 malam pada 22 Disember lalu.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan berjaya mengesan suspek berusia 25 tahun yang telah melarikan diri ke Pelabuhan Klang, Selangor selepas dipercayai melakukan pembunuhan tersebut.
Katanya, suspek ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sebuah asrama pekerja rakannya, di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Selangor kira-kira 4 pagi pada Sabtu lalu.
"Hasil soal siasat suspek mengaku memukul kepala si mati dengan tukul besi kerana tidak tahan selalu dimarahi si mati kira-kira jam 12 tengah hari 22 Disember lalu.
"Difahamkan suspek mengheret si mati ke dalam bilik lalu mengambil barang peribadi si mati seperti dompet, telefon bimbit dan kunci kereta sebelum melarikan kereta hingga ke Rembau, Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Jelasnya, suspek kemudian meninggal kereta mangsa di tepi jalan kerana kehabisan minyak dan menaiki bas sebelum pergi ke asrama rakannya itu untuk bersembunyi. - Sinar Harian