Tak serik-serik, lelaki ada 11 waran tangkap trafik buat hal lagi

Ruzaini Zulkepli
November 12, 2017 09:08 MYT
Dalam Op Bersepadu bersama pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang bermula jam 7.30 malam semalam itu dijalankan serentak di seluruh Sabah. - Foto Astro AWANI
SEORANG lelaki bagaikan tidak serik-serik melakukan kesalahan lalu lintas selepas dia didapati mempunyai 11 waran tangkap atas pelbagai kesalahan trafik sebelum berjaya ditahan polis dalam sekatan jalan raya bersempena op trafik bersepadu di Jalan Telipok, Manggatal, malam tadi.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah; Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pesalah trafik berusia 39 tahun itu difahamkan mempunyai 31 keping saman lalu lintas dengan 11 daripadanya adalah waran tangkap.
"Dalam operasi yang bermula jam 7.30 malam tadi, kita berjaya menahan seorang lelaki dimana dia mempunyai 31 keping saman dan daripada jumlah itu, 11 adalah waran tangkap.
"Pesalah trafik berkenaan sudah dibawa ke balai berdekatan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,"katanya.
Terdahulu, dalam Op Bersepadu bersama pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang bermula jam 7.30 malam semalam itu dijalankan serentak di seluruh Sabah dan menyaksikan sebanyak 479 keping saman dikeluarkan kepada pemilik-pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Jelasnya, tujuan utama op bersepadu itu dijalankan adalah memastikan seluruh rakyat di negeri ini terutamanya pemandu kenderaan memastikan pemanduan mereka mengikut peraturan yang ditetapkan.
#berita Malaysia #berita Sabah #berita Sarawak #Malaysia News #operasi #polis #saman #siasatan #trafik #waran tangkap
;