Tak serik, lelaki tendang wanita dipenjara 12 bulan, denda RM1,500
Hakim Rahman
November 10, 2017 21:45 MYT
November 10, 2017 21:45 MYT
Seorang penganggur dipenjara 12 bulan dan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah melakukan serangan jenayah dan mencederakan seorang wanita pada 6 Novernber lalu.
Tertuduh Marmi Zabrin Mian, 33 tahun didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap juruanalisa Bank Negara Malaysia (BNM), Or Su Lin, 34 tahun di jejantas Jalan Raja Laut, di sini, jam 1.30 tengah hari pada tarikh itu dengan menendang mangsa dari belakang hingga menyebabkan jatuh terduduk.
Majistret Rahni Kartini Abd Rahim menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara bagi kesalahan melakukan serangan jenayah, dan penjara 12 bulan serta denda RM1,500 atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak selain tertuduh perlu menjalani tambahan hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.
Rakaman CCTV tertuduh menendang seorang wanita di jejantas Jalan Raja Laut pada 6 November lalu
Terdahulu dalam prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar, memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal yang berbentuk pencegahan kerana tertuduh mempunyai rekod membabitkan kes berulang dan didakwa atas dua kesalahan sama.
"Tertuduh mempunyai modus operandi yang sama serta mangsa adalah wanita yang tidak melakukan sebarang provokasi selain kes berlaku di tempat awam serta mendapat liputan meluas," katanya.
Tertuduh sebelum ini pernah dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan menendang setiausaha wanita tanpa sebab di sebuah terowong di ibu negara yang videonya turut menjadi viral.
#Ahmad Zikri Jaafar
#Jalan Raja Laut
#lelaki gila
#Mahkamah Majistret
#marmi zabrin mian
#penjara
#Rahni Kartini Abd Rahim
#tendang wanita
#viral