Tak sempat sambut Thaipusam, kuil dilanda banjir
Sinar Harian
Januari 25, 2024 14:15 MYT
Januari 25, 2024 14:15 MYT
JOHOR BAHRU: Seramai 17 penganut agama Hindu tidak sempat melakukan persiapan sambutan Thaipusam di Kuil Sri Muniswarar Maha Mariamman, Kampung Kangkar Tebrau Kiri di sini selepas rumah ibadat itu dilanda banjir pada malam Rabu.
Hujan lebat pada petang sehingga malam Rabu menyebabkan air naik sehingga tiga meter sebelum pihak pengurusan kuil berkenaan menghubungi bomba.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Terbrau, Pegawai Bomba Kanan I Khairul Azhar Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.13 malam.
"Seramai lapan anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah bot dikejarkan ke tempat kejadian untuk memindahkan semua mangsa.
"Seramai 17 mangsa didapati terperangkap dalam kuil berkenaan sebelum pihak bomba memindahkan mereka ke tempat selamat. Operasi tamat pada jam 11.53 malam tadi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. -Sinar Harian