Tak sempat nak belikan bapa baju raya

Sinar Harian
Mei 19, 2021 08:47 MYT
Nik Mohamad Alis (kanan) memeluk Nik Jah bagi menenangkan ibunya itu yang mengalirkan air mata ketika teringatkan arwah bapanya. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Hasrat seorang remaja berusia 16 tahun di Kampung Menuang, Jalan Atas Paloh di sini membelikan busana raya buat bapanya tidak kesampaian apabila insan kesayangannya itu pergi menghadap Ilahi dua hari sebelum sambutan Aidilfitri.
Remaja lelaki tersebut, Nik Mohamad Alis Nik Ab Rashid yang menabung wang hasil bekerja dengan mengambil upah menjaga gerai menjual makanan ketika musim cuti sekolah berhasrat membawa bapanya, Nik Abdul Rashid Nik Yusof, 57, ke pasar raya bagi memilih baju raya pada 11 Mei lalu.
Pesakit buah pinggang dan penghidap batuk kering atau tibi itu bagaimanapun terlebih dahulu meninggal dunia pada hari tersebut bersamaan 29 Ramadan 1442 Hijrah.
Kata anak bongsu daripada dua beradik itu, dia bagaimanapun berpuas hati kerana sempat menjaga arwah bapanya termasuk mencuci najis ketika bapanya terlantar selamat dua minggu sebelum meninggal dunia.
“Bapa menderita sakit selama dua tahun dan hanya terlantar selepas dibenarkan keluar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
“Saya yang menjaganya, memandikan, menyuap makan malah mencuci najis. Sayu sedih apabila dia pergi tetapi saya berpuas hati sempat menjaganya dengan baik ketika hujung hayatnya,” katanya sebak ketika kunjungan Kelab Asnab Kelantan di rumahnya pada Isnin.
Katanya, arwah semasa hayatnya bekerja sebagai tukang kayu untuk menyara mereka sekeluarga termasuk ibunya, Nik Jah Yusoff, 53, warga Thailand yang separa lumpuh kerana strok juga dijaga oleh Nik Mohamad Alis.
“Bapa asal dari Kota Bharu dan pemergiannya menyebabkan kami hilang punca pendapatan menyebabkan sewa rumah RM200, bil elektrik dan air tertunggak serta baru saja memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kami bergantung pada kakak yang menjual gerai makan dan sudah berkeluarga selain saya melakukan pelbagai bekerja untuk mendapat wang belanja,” katanya.
Ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang guru, kini tinggal ibu tersayangi untuk terus dijaga rapi termasuk bertungku dan memasak sendiri makanan bagi mengalas perut wanita itu kerana sakit sejak empat tahun lalu.
“Saya sempat belajar nemasak semasa ayah masih ada termasuk boleh memasak nasi dagang.
“Cuma berbeza tahun ini kerana tidak ada bapa di sisi, sudah tiada ada tangannya untuk saya kucup dan salam minta maaf pada pagi Aidilfitri, tinggal ibu untuk saya berbakti,” katanya yang mengakui senang hati menjaga ibunya dan gembira apabila melihat wanita itu terjaga bersih dan kenyang.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#bapa #baju raya #Aidilfitri #meninggal dunia
;