Tak sempat ke klinik, warga emas meninggal dunia di pondok bas
Sinar Harian
Januari 18, 2023 09:10 MYT
Januari 18, 2023 09:10 MYT
JASIN: Seorang warga emas tidak sempat mendapatkan rawatan di klinik kesihatan selepas ditemui meninggal dunia di sebuah pondok bas di tepi jalan di Kampung Serkam Darat di sini, pagi Selasa.
Dalam kejadian 7.45 pagi, Dol Samad Abu, 64, disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena serangan jantung ketika sedang menunggu bas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, Ketua Balai Polis Merlimau bersama anggota ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan.
Menurutnya, warga emas terbabit dipercayai mahu ke klinik kesihatan berhampiran sebelum terkena serangan jantung.
"Kejadian itu dilihat seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan itu dan ternampak warga emas tersebut dalam keadaan terbaring.
"Pemeriksaan di dalam beg mangsa turut menjumpai pelbagai jenis ubat serta buku rawatan," katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, mangsa turut mempunyai beberapa penyakit lain termasuk asma serta gout.
Ujar beliau, individu itu tinggal bersama adiknya berdekatan pondok bas itu dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai perubatan kemudian mengesahkan dia meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Semakan buku rawatan mendapati dia memang kerap mendapatkan rawatan susulan berhubung penyakit yang dihidapi," katanya lagi.
Jelas beliau, pemeriksaan ke atas tubuh badan Allahyarham tidak menemui sebarang unsur jenayah dan klasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Jasin. -Sinar Harian